Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, menjelaskan senario di sebalik kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti dalam kemenangan 4-1 ke atas Southampton.

Kane telah pun meletakkan Spurs di depan 2-1 selepas Dele Alli menyamakan kedudukan sesudah Virgil van Dijk membuka tirai jaringan sebelum Spurs dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran Nathan Redmond terhadap Alli.

Bagaimanapun, Kane gagal menyempurnakannya apabila bola melayang tinggi dan pemain berusia 23 tahun itu bingkas menyalahkan keadaan padang di St. Mary.

"Padang terlalu lembut," Kane mengadu kepada Sky Sports. "Saya sedar mengenai perkara itu sebelum perlawanan bermula. Terdapat penanaman rumput baru di kawasan kotak penalti.

"Lebih mengecewakan, penjaga gol (Fraser Forster) menerkam ke arah yang salah. Saya akan memikirkan kegagalan ini."

Walaupun sepakan penalti Kane gagal disempurnakan, namun kejayaan Son Heung-Min dan Alli menambah gol ketiga dan keempat perlawanan sedikit-sebanyak menutup kesilapan itu.

Sementara itu, pertahanan Southampton, van Dijk, mengakui pada awal musim ini bahawa dia akan melakukan apa sahaja bagi memastikan pihak lawan gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Ketika aksi berdepan Arsenal, pertahanan Belanda itu telah dilayangkan kad kuning susulan tindakannya menendang tanah di kawasan sepakan penalti.