Fred tidak mahu tinggalkan United

Oleh Staff Writer 21 Disember 2018 2482
Fred tidak mahu tinggalkan United
Pemain tengah Manchester United, Fred, tidak akan meninggalkan pasukan itu dan bertekad untuk merebut kedudukan dalam kesebelasan utama walaupun bekas pengurus, Jose Mourinho, dipecat pihak pengurusan, Selasa lalu.

Perkara itu disahkan sendiri ejen Fred, Gilberto Silva.

United dilaporkan menghabiskan £52 juta (RM275.2 juta) untuk mendatangkan Fred ke Od Trafford daripada Shakhtar Donetsk, Jun lalu.

Namun, pemain itu jarang mendapat kepercayaan Mourinho.

Sebagai rekod, Fred hanya melakukan lapan penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (enam sebagai kesebelasan utama) dan 12 secara keseluruhan.

Keadaan itu menyaksikan dia dipinggirkan daripada skuad kebangsaan Brazil.

Di sebalik kesukaran itu, Silva menjamin pemain berusia 25 tahun itu tidak akan meninggalkan United dan melihat kepada permulaan baru yang ditawarkan pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

"Dia gusar kerana tidak banyak diturunkan musim ini, namun tetap akan bekerja keras untuk mengubah nasibnya," kata bekas pemain tengah Arsenal itu kepada The Telegraph.

"Dia perlu bersabar kerana pasukannya kini sedang melalui waktu sukar.

"Banyak perkara berlaku kepadanya sepanjang enam bulan ini.

"Gaya hidup baru, liga yang berbeza dan pasukan penuh sejarah yang disertainya pula sedang melalui banyak tekanan.

"Kesukaran itu memberikan kesan terhadap kerjayanya.

"Bagaimanapun, dia melihat semua itu sebagai proses pembelajaran.

"Namun, dia tidak akan meninggalkan United.

"Dia masih mempunyai kontrak selama lima tahun.

"Ia bukan disebabkan dia tidak cukup baik sepanjang enam bulan ini.

"Apabila anda tidak kerap diturunkan, kerisauan utama adalah anda tidak dapat membuktikan keupayaan sebenar," katanya lagi.

United kini 19 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Mereka akan berdepan Cardiff City di laman lawan, awal pagi Isnin ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen