Frank Lampard tidak gembira kerana tiga pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL) menerima rehat tambahan selama 24 jam di antara perlawanan minggu ini berbanding Chelsea.

Tidak hairanlah pengurus itu mempersoalkan jadual EPL yang membebani anak buahnya sedangkan mereka beraksi dalam liga terbaik di dunia.

Chelsea dan Aston Villa merayu penundaan 24 jam pertembungan mereka Selasa ini tetapi ditolak EPL, sekali gus meninggalkan mereka dengan rehat satu hari sahaja.

The Blues akan memulakan kempen dalam 'Boxing Day' dengan menentang Arsenal di Stadium Emirates malam esok, sehubungan itu Lampard sedia melakukan rombakan besar kerana khuatir dengan risiko kecederaan akibat jadual padat.




Liverpool, Tottenham Hotspur dan Manchester United mendapat sekurang-kurangnya 72 jam di antara perlawanan mereka sambil Manchester City juga terpaksa beraksi dua kali dalam tempoh 48 jam, sehubungan itu bekas pemain tengah tersebut menganggap ia bukan senario yang adil.

"Dua perlawanan dalam 48 jam adalah titik penting bagi kami padahal ada pencabar EPL yang lain akan terbabit dalam dua perlawanan sepanjang tiga hari," katanya.

"Manchester United, Tottenham, Liverpool beraksi dua perlawanan dalam tiga hari. Ini sesuatu yang tidak produktif untuk kualiti EPL, adalah berisiko terhadap pemain sekirannya mereka dikerah dalam kedua-dua perlawanan elit tersebut.

"Saya tahu apa yang berlaku kerana perlawanan ini perlu memenuhi slot siaran langsung.

"Saya sedar kadang-kadang kesalahan boleh dituding ke arah penyiar tetapi saya juga tahu bahawa keputusan ini dibuat bersama banyak pihak tapi kami dipaksa beraksi dalam dua perlawanan dalam tempoh 48 jam.

"Saya tidak melihat ini sebagai persaingan yang adil, saya rasa ia salah dan pemain tidak dapat menampilkan yang terbaik. Jangan salah faham, Aston Villa mempunyai masalah yang sama tetapi saya hanya mengatakan bahawa kami tidak menikmati masa rehat seperti pasukan lain. "

Akibatnya Lampard, perlu memikirkan jalan untuk mengharungi jadual padat ini dengan ketiadaan pertahanan, Reece James dan Ben Chilwell, termasuk pemain sayap, Hakim Ziyech.