Frank Lampard hilang jawatan sebagai pengurus Chelsea selepas The Blues mengesahkan perkembangan itu, sebentar tadi.

Khabar angin berhubung pemecatannya mula tersebar luas berikutan sekadar mencatat dua kemenangan dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus meletakkan mereka ditangga kesembilan dengan memungut 11 mata.

Dengan peneasahan itu, maka berakhirlah tampuk pengurusan penjaring terbanyak kelab tersebut selama 18 bulan sementara pelantikan bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, dijangka akan menyusul.

Chelsea tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kemungkinan kelibat Tuchel dengan menjelaskan: "Ini adalah satu keputusan yang sangat sukar dan bukannya keputusan yang di pandang remeh oleh pemilik dan ahli lembaga kelab.

"Kami berterima kasih kepada Frank atas apa pencapaiannya sepanjang mengemudi kelab ini. Namun, keputusan dan persembahan baru-baru ini tidak memenuhi harapan kelab, justeru meninggalkan kelab di pertengahan carta liga tanpa hala tuju yang jelas dalam usaha meningkatkan mutu permainan mereka.

"Tidak akan pernah sesaat yang tepat untuk berpisah dengan legenda kelab ini seperti Frank, tetapi atas pertimbangan dan penilaian yang panjang, kami memutuskan bahawa perubahan diperlukan sekarang demi memberi ruang kepada buat kelab untuk meningkatkan prestasi dan meraih keputusan yang memberangsangkan musim ini."




Pemilik, Roman Abramovich, menambah: "Ini adalah keputusan yang sangat sukar buat kelab, khususnya saya yang mempunyai hubungan peribadi yang sangat baik dengan Frank dan saya sangat menghormatinya.

"Dia adalah seorang yang berintegriti tinggi dan mempunyai etika kerja yang di tahap tertinggi. Bagaimanapun, dalam keadaan semasa, kami percaya adalah lebih baik untuk menukar pengurus.

"Bagi semua pihak di kelab ini,, ahli lembaga pengarah dan secara peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Frank atas tugasannya sebagai ketua jurulatih kami dan semoga dia terus maju pada masa depan.

"Dia merupakan ikon penting di kelab hebat ini dan statusnya di sini tidak akan luput. Dia akan disambut dengan tangan terbuka di Stamford Bridge."

Lampard gagal mengulangi kejayaannya sebagai pemain di Stamford Bridge, di mana dia memenangi 11 piala dalam tempoh 13 tahun.

Ini adalah merupakan peranan keduanya dalam kancah jurulatih senior selepas meninggalkan Kelab Kejuaraan, Derby County, pada 2018-19.

Dia kembali ke pangkuan kelab London itu tetapi terpaksa berdepan dengan hukuman larangan membeli pemain dan terpaksa bergantung kepada bakat akademi mereka.

Mason Mount, Tammy Abraham dan Reece James telah mengukuhkan posisi masing-masing apabila mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) dan ke final Piala FA musim lalu.

Jangkaan tinggi mula terarah kepada Lampard selepas berbelanja besar dalam jendela perpindahan awal musim ini dengan memancing Timo Werner, Kai Havertz, Hakim Ziyech dan Ben Chilwell.

Walaupun pada awalnya tampak berbisa apabila mendominasi puncak liga pada Disember 2020, namun prestasi mereka mula merosot apabila tewas kepada Everton, Wolves, Arsenal, Manchester City dan Leicester City.

Begitupun, kemenangan 3-1 ke atas Luton Town dalam Piala FA malam tadi --- yang menyaksikan Abraham menjaringkan hatrik sementara Werner terus bergelut apabila gagal menyepak masuk sepakan penalti -- gagal mententeramkan kem Chelsea.

Werner dan Havertz pula gagal tampil secara tekal selepas perpindahan lumayan daripada Bundesliga.

Sudah pasti mereka mengharapkan pelantikan Tuchel yang berasal dari Jerman selain mempunyai reputasi menjuarai dua gelaran Ligue 1 dan layak ke UCL bersama PSG musim lalu itu mampu menjadi tonik kebangkitan mereka.