LEICESTER CITY 0 SOUTHAMPTON 0
(City mara menerusi penentuan sepakan penalti 6-5)

Leicester City akan menghadapi juara bertahan, Manchester City, dalam aksi suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) ekoran kejayaan dalam penentuan penalti ketika menentang Southampton selepas seri tanpa jaringan, awal pagi tadi.


Perlawanan pusingan 16 di Stadium King Power berkenaan ditangguhkan berikutan nahas helikopter yang meragut nyawa pemilik Foxes, Vichai Srivaddhanaprabha, dan empat yang lain pada bulan lepas.

Anak lelaki Srivaddhanaprabha, Aiyawatt, turut hadir dalam perlawanan pada awal pagi tadi apabila menyaksikan kelabnya layak hasil kejayaan penentuan penalti, 6-5.

Selepas 90 minit tanpa gol dan 10 sepakan penalti yang disempurnakan, peggempur Southampton, Manolo Gabbiadini, menyaksikan tendangannya diselamatkan Danny Ward sebelum Nampalys Mendy dengan tenang menghantar Leicester ke pusingan berikutnya, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengurus The Saint, Mark Hughes.

Terdapat banyak drama di penghujung masa sebenar perlawanan, rembatan Nathan Redmond menggegar palang tuan rumah selain jaringan Steven Davis pada minit ke-83 dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) memaparkan bola terlebih dahulu terkena tangan pemain tersebut.

Tidak lama selepas itu, VAR mengesan tiada kekasaran ke atas Jonny Evans oleh Pierre-Emile Hojbjerg berikutan aduan Leicester untuk mendapatkan penalti.

Bagaimanapun, Ward yang menjadi wira pasukan ketika tangkas menafikan sepakan percuma Gabbiadini pada minit ke-95, sekali lagi menyangkal sepakan penyerang Itali berkenaan dalam penentuan penalti dan membantu pemenang tiga kali itu menempah pertemuan dengan City di peringkat suku akhir di laman sendiri.