Phil Foden sekali lagi memainkan peranannya ketika Manchester City menewaskan Aston Villa 2-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi dan Pep Guardiola berasakan pemain kebangsaan England itu sudah semakin matang.

Selepas tewas kepada Leeds United -- yang beraksi 10 pemain -- dalam perlawanan liga terdahulu dan tunduk 0-1 kepada Chelsea dalam separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu, City kelihatan terganggu dengan kontroversi Liga Super Eropah (ESL) dengan ketinggalan pada 20 saat pertama di Villa Park gara-gara ketajaman John McGinn.

Bagaimanapun, Foden tidak membiarkan perkara itu berlarutan apabila menyudahkan gerakan sepasukan yang direncanakan City untuk mengikat kedudukan sebelum Rodri menanduk masuk hantaran lintang Bernardo Silva bagi memastikan pasukannya di depan 2-1 sebelum waktu rehat.

City, bagaimanapun, terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung babak pertama apabila John Stones dilayangkan kad merah kerana mengasari Jacob Ramsey.

Ia kemudian menjadi perlawanan 10 lawan sebelum sejam permainanan apabila kelicikan Foden menjadi punca Matty Cash dilayangkan kad kuning kedua.

Secara keseluruhan, ia merupakan aksi cemerlang daripada pemain kebangsaan England berkenaan selepas turut menemui sasaran dalam kedua-dua perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menewaskan Borussia Dortmund.

"Dia sedang berkembang, pemain ini sedang berkembang. Dia melangkah ke depan dalam setiap perlawanan," kata Guardiola kepada Sky Sports.

"Pengaruhnya dalam pemainan kami amat besar ketika ini. Dia menjaringkan gol, memaksa lawan mendapat dua kad kuning, banyak berlari di kawasan serangan dan dia juga amat agresif tanpa bola.

"Dia sedang menjadi pemain sebenar," katanya.