Fletcher sertai barisan kejurulatihan Solskjaer di Manchester United

Oleh Muzaffar Musa 5 Januari 2021 606
Fletcher sertai barisan kejurulatihan Solskjaer di Manchester United
Bekas pemain tengah Manchester United, Darren Fletcher, menyertai barisan kejurulatihan Ole Gunnar Solskjaer secara sepenuh masa.

Fletcher hadir daripada akademi United dan menghabiskan dua dekad karier bola sepaknya di Old Trafford. Dia kembali ke pangkuan itu sebagai jurulatih skuad B-16 pada Oktober lalu.

Jurulatih berusia 36 tahun itu -- yang turut pernah mewakili West Brom dan Stoke City selain melakukan 80 penampilan bersama skuad kebangsaan Scotland -- kini diterima untuk peranan sepenuh masa dalam pasukan utama skuad The Red Devils itu.

"Saya gembira untuk kembali kepada skuad utama kelab ini sebagai jurulatih," kata Fletcher dalam laman wab rasmi pasukan itu.

"Ia waktu yang amat mengujakan buat pasukan muda ini dan saya bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam karier kejurulatihan saya dengan bekerja dengan Ole dan stafnya."

Solskjaer turut gembira dengan kehadiran Fletcher -- yang memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selain masing-masing satu dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sepanjang bersama United -- ke dalam pasukannya.

"Darren mempunyai DNA United yang mengalir dalam darahnya dan dia benar-benar tahu apa yang diperlukan untuk menjadi pemain Manchester United," kata Solskjaer.

"Dia sedang memulakan karier kejurulatihannya dan pengalamannya di luar dan dalam padang di samping mentaliti kemenangan, komitmen dan bekerja keras, akan menjadi nilai tambah baik buat staf kejurulatihan ini."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen