Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) mengumumkan cadangan peraturan yang lebih ketat berhubung pemain pinjaman antarabangsa yang boleh dikuat kuasakan Julai depan, bergantung kepada kelulusan daripada Majlis FIFA.

Jawatankuasa Pemegang Taruh Bola Sepak mengesahkan peraturan baru itu akan membabitkan pemain pinjaman antarabangsa yang berumur 22 tahun ke atas.

Kelab akan dibenarkan berurusan dengan jumlah maksimum seramai lapan pemain (keluar atau masuk ) bagi musim 2020-21 dan jumlah itu akan dikurangkan kepada enam pada 2022-23 sebelum menjadikannya tiga.

Organisasi bola sepak dunia itu berkata peraturan berkenaan akan memastikan (urusan pemain pinjaman) akan mempunyai tujuan yang lebih sihat buat pembangunan pemain belia.

Dengan peraturan baru itu bakal diperkenalkan Julai depan, kelab-kelab tempatan mempunyai tempoh selama tiga tahun untuk menetapkan panduan peraturan bagi saingan domestik.

Ini kerana peraturan tempatan haruslah sejajar dengan prinsip yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.