Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengingatkan mana-mana pemain bahawa mereka tidak layak untuk mengambil bahagian dalam Piala Dunia, Euro mahupun Liga Juara-Juara (UCL) sekiranya beraksi dalam Liga Super Eropah.

Di celah-celah spekulasi bahawa kelab-kelab terbesar Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1 sepakat untuk membentuk satu kejohanan berasingan, badan pengelola bola sepak dunia itu kemudian lantang membantah idea pembetukan liga tersebut.

Kenyataan bersama daripada FIFA dan enam persekutuan benua yang lain berbunyi: "Berikutan spekulasi media baru-baru ini mengenai pembentukan 'Liga Super Eropah' yang diimpikan oleh beberapa kelab Eropah, FIFA dan enam gabungan (AFC, CAF, CONCACAF, CONMEBOL, OFC dan UEFA) sekali lagi ingin menegas dan menekankan bahawa kejohanan seperti itu tidak akan diiktiraf oleh FIFA mahupun gabungan masing-masing.

"Mana-mana kelab atau pemain yang terlibat dalam kejohanan seperti itu tidak akan dibenarkan menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh FIFA mahupun ahli gabungan masing-masing.

"Selaras dengan undang-undang FIFA dan konfederasi, semua kejohanan harus diatur atau diikraf oleh badan yang relevan di peringkat masing-masing, oleh FIFA di peringkat global atau ahli gabungan di peringkat benua.

"Dalam hal ini, ahli gabungan mengiktiraf formatnya terkini Piala Dunia Kelab sebagai kejohanan tunggal yang melibatkan kelab serata seluruh dunia, sementara FIFA hanya mengangkat pertandingan kelab anjuran ahli gabungan sebagai satu-satunya kejohanan di peringkat kelab.

"Prinsip universal kesukanan, perpaduan, kelayakan dan penyingkiran mahupun peringkat lebih rendah adalah asas piramid kepada bola sepak bagi memastikan kejayaannya secara global dan dengan demikian, ia mestilah termaktub dalam undang-undang FIFA dan konfederasi.

"Bola sepak mempunyai sejarah yang panjang dan ia berjaya hasil daripada prinsip-prinsip ini. Penyertaan dalam kejohanan peringkat global dan benua perlu dijuarai di atas padang."

Oktober lalu, FIFA dilaporkan berminat untuk mengadakan kejohanan tertutup melibatkan 18 pasukan yang akan dinamakan'Liga Perdana Eropah'.

Namun, Presiden FIFA, Gianni Infantino, mengatakan "tidak berminat" dengan idea itu dan berasakan Piala Dunia Kelab yang sedia ada masih berpotensi untuk diluaskan.

Sebelum mengundurkan diri selaku Presiden Barcelona, ​​Josep Maria Bartomeu, mendedahkan dalam sidang media bahawa dia bersetuju dengan usul Liga Super Eropah itu.