Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata beliau tidak memiliki sebarang perancangan untuk berhenti memilih pemain tengah, Fernandinho, untuk turun beraksi selaku pertahanan tengah, di sebalik ketersediaan John Stones dan Nicolas Otamendi.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah dihimpit krisis jentera pertahanan apabila Aymeric Laporte terpaksa direhatkan selama enam bulan gara-gara kecederaan meniskus lutut kanan Ogos lalu.

Stones dan Otamendi pula terpaksa mengharungi perlawanan yang mengecewakan ketika tewas 3-2 kepada Norwich City.

Guardiola telah menurunkan pemain kebangsaan Brazil, Fernandinho, sebagai salah seorang pertahanan tengah dalam setiap perlawanan EPL sejak itu dan beliau menegaskan tidak berhasrat untuk berhenti dengan percaturan itu.

Ditanya mengapa tidak menggandingkan Stones dan Otamendi, Guardiola memberitahu satu sidang media pra-perlawanan bertemu Burnley awal pagi Rabu ini, "Kerana saya gemar menurunkan Fernandinho dalam posisi itu. Saya lebih suka dia dalam posisi itu."

Ditanya lagi mengapa menurunkan pemain tengah di bahagian pertahanan, Guardiola membalas, "Saya lebih gemar Ilkay Gundogan dan Rodri di tengah."

Guardiola turut menjelaskan Sergio Aguero bakal terlepas aksi 'derby' berdepan Manchester United di Stadium Etihad, Sabtu ini.

Pemain kebangsaan Argentina itu mengalami kecederaan paha ketika merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Chelsea bulan lalu dan Guardiola berkata lagi, "Dia masih belum bersedia untuk aksi 'derby' itu. Kami akan melihat perkembangan selepas perlawanan tersebut."

Seri 2-2 dengan Newcastle United, Sabtu lalu bermakna mereka kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Guardiola mengakui perlu berada di tahap terbaik bagi mengelak kehilangan lebih banyak mata ketika bertemu skuad kendalian Sean Dyche itu.

"Ia sentiasa sukar untuk pasukan bertemu lawan seperti Burnley. Mereka melakukan setiap perkara dengan sempurna.

"Mereka juga pantas untuk menyambar bola muntah dan memiliki pemain yang mampu menghasilkan gol menerusi sepakan percuma, jadi kami perlu segera menyesuaikan diri dengan gaya permainan kami.

"Mereka menyerang dengan baik dan pertahanan mereka juga agresif."