Manchester United berhak bersaing dalam Liga Juara-Juara (UCL) tetapi mereka kini perlu bersaing untuk merebut gelaran, menurut Bruno Fernandes.

Bintang Portugal itu menjaringkan penalti untuk membantu The Red Devils menang 2-0 ke atas Leicester City Ahad lalu, keputusan menyaksikan United menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

United diberikan peningkatan yang menakjubkan dalam prestasi permainan -- inspirasi yang dicetus daripada ketibaan Fernandes dari Sporting CP Januari lalu -- dan kembali ke kancah Liga Juara-Juara (UCL) buat kali pertama sejak musim 2018-19.

Ketika gembira untuk memastikan pasukan dalam kelompok tiga terbaik, Fernandes menegaskan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer kini boleh memberikan tumpuan untuk memenangi gelaran.

"Sememangnya, beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) sangat istimewa dan saya berharap ia dapat diharungi bersama penyokong pasukan, ia akan menjadi lebih istimewa," katanya kepada MUTV.

"Kami berhak layak ke UCL. Saya tidak merendah-rendahkan saingan Liga Europa, semua orang menyedari pertandingan terbaik adalah UCL.


"Kami berasa sangat baik, ini yang kami mahukan. Kami berlatih dengan gigih untuk mencapai ke tahap ini. Kami mengetahui sasaran utama adalah kembali dalam saingan UCL.

"Tetapi kami tidak boleh bergembira di atas kejayaan ini. Setiap pemain menyedari pasukan ini mampu mencapai lebih lagi daripada apa yang telah ditetapkan. Saya berasakan kami memiliki kualiti untuk mengejar gelaran."

United mampu menamatkan musim 2019-20 dengan trofi apabila mereka akan kembali beraksi dalam saingan Liga Europa bulan depan.

Kemenangan 5-0 ke atas LASK dalam aksi pertama pusingan 16 bermakna mereka adalah pasukan pilihan untuk melangkah ke suku akhir, di mana mereka akan berdepan Copenhagen atau juara Turki Istanbul Basaksehir di Cologne.

"Fokus kami kini berlatih kepada Liga Europa kerana ia adalah trofi yang bagus dan kami mahu memenanginya," kata Fernandes.

"Saya datang ke Manchester untuk menang gelaran. Kami perlu bermain dalam setiap perlawanan untuk menjuarai gelaran. Jika kami memenangi setiap perlawanan dalam Liga Europa, kami tahu akan mampu menjulang trofi."