Bruno Fernandes menjelaskan isyaratnya yang menyuruh Pep Guardiola agar diam dalam 'derby' Manchester adalah isu penghormatan selain menunjukkan kepada pengurus Catalan itu bahawa dia telah 'naik angin'.

Pengurus Manchester City itu melemparkan bola ke arah lain di sebalik pemain antarabangsa Portugal itu meminta daripadanya sebelum mereka bertikam lidah dalam kemenangan 2-0 yang memihak tuan rumah di Old Trafford, Isnin lalu.

Fernandes kemudian membuat isyarat meletakkan jari ke bibirnya yang ditujukan kepada bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang mencipta umpanan untuk jaringan pembukaan daripada Anthony Martial sebelum Scott McTominay melengkapkan kemenangan tersebut pada lewat permainan, telah membincangkan bagaimana gelagat Guardiola telah mencetuskan kemarahannya.


Fernandes memberitahu Sky Sports: "Saya bercakap tentang insiden itu dengan beberapa kawan dan sesetengah orang berfikir, 'Pep telah memenangi segala-galanya, siapakah Bruno untuk memperlakukannya seperti itu?' Tetapi saya fikir ia adalah mengenai soal rasa hormat.

"Ketika ini saya berada di luar padang dan bersikap tenang, saya tidak akan mengulanginya lagi jika saya berada di atas padang sekarang.

"Tetapi pada ketika itu, kata-kata yang dia sampaikan membuat saya naik gila dan sedikit gugup, saya merupakan pemain seperti itu.

"Saya sangat menghormati Pep, berhubung apa yang pernah dia menangi dan atas apa yang dilakukannya untuk bola sepak tetapi pada masa itu, dia tidak menghormati saya dan dia tidak layak menerima penghormatan daripada saya."

Begitupun, Fernandes gembira isu itu telah berlalu untuk membuat permulaan menakjubkan di United sejak menyertainya daripada Sporting CP, yang menyaksikannya telah meledak tiga gol dan mencipta empat bantuan jaringan dalam sembilan penampilan dan pantas menambat hati penyokong.

Dia meneruskan: "Bagi saya, tidak kira apa yang berlaku di padang, ia sudah pun berlalu.

"Saya menghormatinya, jadi tidak kisahlah apa yang telah diperkatakannya."