Bruno Fernandes menafikan laporan bahawa dia bertelagah dengan pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, ketika dimalukan Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Fernandes dilaporkan berang kerana dikeluarkan selepas rehat ketika mereka ketinggalan 1-4 dalam perlawanan itu di Old Trafford, awal bulan ini.

Pemain antarabangsa Portugal itu membukaan tirai jaringan menerusi sepakan penalti tetapi dikatakan telah bertelagah dengan pengurus berbangsan Norway tersebut.

Bagaimanapun, Fernandes menepis dakwaan itu ketika memacu kemenangan 3-0 Portugal ke atas Sweden dalam Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi tadi.

"Spekulasi tentang hal itu bertiup kencang," kata pemain tengah itu kepada Sport TV, melalui A Bola.

"Mula-mula kami dikaitkan perbalahan dengan rakan sepasukan kerana tidak turun bertahan, kemudian insiden dengan Victor Lindelof dan sekarang, isu saya dengan Solskjaer.

"Saya percaya ini adalah cara untuk merosakkan suasana pasukan kami, apa yang dikatakan adalah tidak benar.

"Saya digantikan dalam separuh masa pertama, ya saya kecewa tetapi ia berdasarkan pilihan teknikal. Pengurus memberitahu saya bahawa perlawanan sudah hampir sampai ke penghujungnya dan kami akan berdepan banyak lagi perlawana lagi. Memang saya tidak berpuas hati tetapi tidak sampailah untuk mengatakan apa-apa yang boleh menjejaskan kumpulan ini."



Selepas hanya menang sekali dalam tiga perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), Solskjaer berdepan tekanan hebat di United.

Begitupun, Fernandes menegaskan Manchester United sudah bersiap sedia untuk menunjukkan tindak balas apabila diuji Newcastle United, awal pagi Ahad ini, sambil memperingatkan bahawa spekulasi seperti itu perlu dihentikan.

"Jangan gunakan nama saya, rakan atau jurulatih untuk mencetuskan masalah di Manchester United," katanya.

"Suasana di kem kami baik dan pasukan akan bersedia memberikan jawapan (terhadap kritikan) dalam perlawanan seterusnya."