Bruno Fernandes adalah 'pemain yang anda harapkan ' untuk ditandatangani, menurut legenda Manchester United, Ryan Giggs.

Giggs, pemenang Liga Perdana 13 kali di Old Trafford, gembira dengan kualiti serta ciri tambahan pemain yang telah dibawa masuk oleh pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, pada jendela perpindahan Januari lalu.

Dia sangat mengagumi persembahan pemain antarabangsa Portugal, Fernandes, yang tiba dari Sporting CP dan membantu United merekodkan 11 perlawanan tanpa kalah sebelum krisis coronavirus menghentikan musim ini.

"Fernandes masuk ke dalam pasukan dan memberi semangat kepada semua orang, perkara ini amat menggembirakan untuk United bagi musim ini," kata Giggs,.

"Dia segera memberikan impak seawal aksi pertama bersama pasukan, sama seperti ketika United mendapatkan Eric Cantona.

"Dia menjadikan pemain di sekelilingnya bertambah baik serta mudah mendapatkan rentak. Pemain seperti ini adalah apa yang sering anda harapkan untuk ditandatangani.

"Fernandes juga kelihatan seperti seorang pemain yang bermotivasi tinggi. Seorang yang mengagumkan, ketika dia menerima bola, dia akan mencuba sesuatu, jika sesuatu tidak berhasil, dia akan mencubanya lagi.

"Dia memberi semangat kepada semua orang, pemain di sekelilingnya, staf, peminat. Permulaan yang benar-benar positif tetapi masih banyak lagi perlu dipertingkatkan."United berharap Fernandes dapat menjalin kerjasama di bahagian tengah bersama Paul Pogba, yang akan kembali beraksi musim ini selepas diketepikan ekoran masalah kecederaan yang berpanjangan.

"Sama ada mereka dapat keserasian ataupun tidak, anda tidak boleh menjawab soalan itu sehingga menyaksikan mereka bermain bersama," kata Giggs.

"Pemain yang baik harus dapat bermain bersama kami harus tunggu dan lihat. Mereka berdua mempunyai banyak kualiti yang tersendiri."