Rio Ferdinand mengecam hala tuju Manchester United selepas kekalahan memalukan kepada Burnley dalam Liga Perdana Inggeris di Old Trafford awal pagi tadi.

Gol daripada Chris Wood dan Jay Rodriguez memastikan United, yang beraksi tanpa penyerang utama, Marcus Rashford, dikejutkan dengan kekalahan 2-0.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berkenaan ketinggalan enam mata dengan pasukan di tangga keempat, Chelsea, dan 30 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, yang turut menewaskan mereka 2-0 di Anfield tiga hari lalu.

Ferdinand, yang melaungkan sokongannya ketika Solskjaer dilantik sebagai pengurus tetap Mac lalu, mengakui pengurus berbangsa Norway itu perlu dinilai semula sambil menyuarakan penilaiannya mengenai aktiviti perpindahan pemain United sejak Alex Ferguson bersara.

"Saya pernah bermain bersama Ole, dia bekas rakan sepasukan saya tetapi keputusan yang diperolehnya tidak cukup bagus," kata bekas pertahanan skuad The Red Devils itu kepada BT Sport.

"Dia mempunyai beberapa pemain utama yang cedera tetapi dengan jumlah perbelanjaan yang besar dalam skuad ini, anda menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripada pemain simpanan.

"Anda lihat kepada pemain yang pernah dibawa masuk, (Marcos) Rojo, (Radamel) Falcao, (Marouane) Fellaini, (Morgan) Schneiderlin, (Memphis) Depay, adakah pemain-pemain ini benar-benar pernah menjadi pemain Manchester United?

"Siapa yang membeli pemain-pemain ini? Adakah pengurus yang tiba mahukan pemain ini atau kelab ini membeli mereka untuk masa kini dan bertahan hingga masa depan?

"Secara kasarnya, £600 juta (RM3.2 bilon) telah dibelanjakan untuk skuad ini dan kebanyakan pemain yang menyerlah musim ini datangnya daripada bakat tempatan.

"Ia membuktikan mengenai jumlah pengambilan pemain baru.

"Ia menunjukkan betapa buruknya ia berlaku.

"Lihat kepada Liverpool, mereka membeli pemain yang sesuai dengan sistem mereka.

"Ia bukan penyelesaian jangka pendek, amat berbeza dengan apa yang berlaku di sini," katanya.

United hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan ia turut mempengaruhi suasana di Old Trafford apabila sebahagian besar penyokong mula meninggalkan stadium itu biarpun perlawanan masih belum tamat.

"Saya malu, saya amat-amat malu untuk berada di sini.

"Bukan hanya disebabkan prestasi pasukan, saya tidak nampak apa yang akan berlaku selepas ini, saya tidak nampak hala tujunya, saya tidak nampak sasaran yang diletakkan di dinding dan berkata kami akan mendapatkannya dan begini caranya untuk kami mendapatkannya," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa