Rio Ferdinand percaya Marcus Rashford di landasan tepat untuk berdiri sebaris dengan pemain handalan dunia yang lain tetapi dia perlu terus beraksi sehebat pemain-pemain itu.

Bintang berusia 19 tahun itu meledak lima gol dalam kesemua pertandingan untuk mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama Manchester United.

Dengan anak buah Jose Mourinho bakal berdepan seteru ketat, Liverpool, hujung minggu ini, Ferdinand menghamburkan pujian terhadap pemain antarabangsa England itu.

"Dia berbakat besar dan beraksi dengan baik," kata Ferdinand kepada The Mirror.

"Dia kelihatan matang, semakin meningkat. Dia dahagakan kejayaan dan diberi peluang musim ini.

"Dia mampu menjadi tonggak utama buat United dan England, dia berada di tempat yang betul untuk melakukannya.

"Dia mendapat sokongan daripada pengurus, peminat dan keyakinan dalam kalangan pemain. Semakin kerap saya menontonnya, semakin kerap dia mengetengahkan sesuatu yang baru dalam permainannya," katanya.

Meskipun persembahan Rashford itu melayakkannya untuk dicalonkan bagi Anugerah Pemain Muda Terbaik, bekas pemain pertahanan itu percaya Rashford perlu beraksi di pentas tertinggi sekiranya ingin berdiri sebaris dengan pemain seperti Ousmane Dembele dan Kylian Mbappe.

"Dembele berhijrah ke Barcelona dan Mbappe ke Paris Saint-Germain (PSG). Adakah Rashford sebaris dengan mereka?" kata Ferninand.

"Rashford berpotensi untuk menjadi seperti mereka tetapi mereka telah melakukannya dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) sementara Rashford belum lagi.

"Dia perlu terus membuktikan kemampuannya dan terdapat banyak rintangan untuk dihadapinya. Terlalu mudah untuk kita melabel pemain-pemain pada usia seperti ini.

"Andai dia terus meningkat, berusaha keras dan mencintai bola sepak, dia memiliki peluang untuk melakukannya sepertimana pemain muda yang ingin berjaya dan menjadi bintang ternama," katanya lagi.