MANCHESTER UNITED 3 NEWCASTLE UNITED 2

Pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini, mendedahkan pengurus, Jose Mourinho, mahu pasukan itu bermain seperti lelaki sebelum mencipta kemenangan dramatik ke atas Newcastle United di Old Trafford, awal pagi tadi.


Dengan spekulasi hangat mengenai masa depan Mourinho bersama kelab itu, United ketinggalan dua gol selepas 10 minit pertama.

Namun, mereka berjaya bangkit menjaringkan tiga gol pada 20 minit terakhir, dengan Juan Mata dan Anthony Martial berjaya menemui jaring pelawat sebelum Alexis Sanchez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Fellaini, yang masuk menggantikan Scott McTominay dalam separuh masa kedua, memberitahu BT Sport:"Pengurus mengarahkan kami bermain seperti lelaki, tidak perlu takut dan teruskan permainan.

"Itu yang kami lakukan. Babak pertama adalah waktu sukar buat kami tetapi kami bermain dengan agresif dalam babak kedua dan mencipta lebih banyak peluang," katanya.

Buat pemain tengah, Mata, keputusan positif ini dapat menyelesaikan krisis yang dialami kelab tersebut, termasuk masa depan pengurus mereka, Mourinho.

"Kami memerlukan sesuatu seperti ini," kata Mata.

"Sukar untuk melakukan kebangakitan seperti ini tetapi kami menghasilkan banyak percubaan berbahaya, kemudian kami menjaringkan gol.

"Kami memberikan segala-galanya untuk memenangi perlawanan ini dan dalam babak kedua, kami berasakan tiada apa untuk dikesali. Ketika ini berlaku, kami akan menghasilkan percubaan yang banyak.

"Ia melegakan, inilah yang diperlukan kami. Kemenangan akan memperbaiki segala keadaan. Kami cuba melakukannya untuk peminat dan hari ini mereka pulang dengan hati yang gembira," tambahnya.

Dengan kemenangan pertama daripada lima perlawanan ini, United akan berdepan Chelsea, Juventus dan Everton selepas waktu rehat antarabangsa.