Persatuan Bola Sepak Belgium mengesahkan pemain Manchester United, Marouane Fellaini, terpaksa berehat untuk beberapa minggu selepas mengalami kecederaan ligamen lutut.

Pemain tengah itu terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-29 ketika pasukannya meraih kemenangan 4-3 dalam saingan kelayakan Piala Dunia ke atas Bosnia-Herzegovina, Sabtu lalu.

Ketua jurulatih, Roberto Martinez, mengakui Fellaini mengalami kecederaan ligamen dan bimbang ia mungkin memaksa pemain itu berehat panjang.

Bagaimanapun, ujian telah mendedahkan kecederaannya itu tidak terlalu serius tetapi tidak akan dapat beraksi sehingga penghujung bulan ini.

Ia bakal menjadi satu tamparan buat United, yang bakal berdepan Liverpool bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa Fellaini atau Paul Pogba.

Pemain berusia 29 tahun itu telah menjaringkan empat gol dalam semua kejohanan untuk kelab dan bakal ditawarkan kontrak baru selama dua tahun.