Besiktas berharap untuk menandatangani Marouane Fellaini daripada Manchester United, menurut ahli lembaga kelab juara Turki itu.

Kontrak tonggak Belgium itu akan berakhir pada penghujung musim ini, lalu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Super Lig, Galatasaray dan Besiktas.

Jose Mourinho dengan pantas menolak khabar angin itu biarpun kelibat seakan-akan pemain itu kelihatan berada di Istanbul, minggu lalu.

Rupa-rupanya, ia adalah saudara kembarnya, Fellaini Mansour, namun ahli lembaga eksekutif Besiktas, Metin Albayrak, mengesahkan kelab itu tetap memantau perkembangan pemain berusia 29 tahun itu.

"Fellaini berada dalam senarai kami, kami telah berusaha untuk menandatanganinya tetapi bukan setakat dia sahaja," katanya seperti yang dilaporkan oleh media Turki.

"Dia bukanlah satu-satunya pemain yang kami cari, pasukan peninjau kami menyaksikan 20 perlawanan minggu ini.

"Pelan perpindahan tidak akan berakhir, kami sentiasa bekerja. Kami sedang memantau rapi beberapa pemain.

"Kelab ini mempunyai rancangan dalam saingan Turki dan Eropah, kami sedang melakukan rundingan. Kami mahu melakukan urusan perpindahan pada musim sejuk atau akhir musim," katanya.