Daniel Farke akan meraikan kejayaan Norwich City menundukkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City, dengan "secangkir kopi dan sepotong kek" selepas sesi latihan pagi esok.

Norwich memaparkan aksi mengagumkan ketika menewaskan City 3-2 di Carrow Road awal pagi tadi untuk meraih kemenangan kedua musim ini selain aksi memberangsangkan ketika tewas kepada Liverpool, Chelsea dan West Ham sebelum ini.

Kenny McLean dan Todd Cantwell meletakkan The Canaries di depan sebelum Sergio Aguero merapatkan jurang sebelum waktu rehat.

Teemu Pukki kemudian kembali meletakkan Norwich dalam keadaan selesa selepas Emiliano Buendia memperdayakan Nicolas Otamendi manakala usaha lewat permainan Rodri sudah terlalu lewat buat skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Ditanya bagaimana dia akan meraikan kemenangan luar biasa itu, Farke berkata: "Sejujurnya, ia adalah minggu yang merumitkan dan saya gembira untuk duduk di sofa saya petang ini kerana saya sudah terlalu tua dan keletihan untuk meraikannya.

"Kami mempunyai latihan pagi esok dan perlu menganalisis, saya perlu menyaksikan semula perlawanan ini.

"Ia sudah terlalu lewat untuk saya bersedia, namun tengah hari esok, di atas sofa, saya boleh menikmati kopi dan kek. Itulah cara keraian saya.

"Semua penyokong kami dibenarkan untuk meraikan kejayaan ini kerana jika anda tidak menikmati saat ini, anda akan kehilangan motivasi, namun kami akan tetap bertenang," katanya.