Fabinho bakal diturunkan bertemu Red Star, kata Klopp

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2018 221
 Fabinho bakal diturunkan bertemu Red Star, kata Klopp
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan pemain tengah, Fabinho, berpeluang untuk menambat hatinya apabila dalam perancangan untuk diturunkan menghadapi Red Star Belgrade dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL). 

Fabinho, yang mencecah 25 tahun hari ini, hanya membuat empat penampilan untuk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sejak tiba dari Monaco.

Bagaimanapun, dengan Jordan Henderson dan Naby Keita diketepikan ekoran kecederaan hamstring, pemain yang tujuh kali mewakili Brazil tersebut bersedia merebut peluang di Anfield.

Klopp mengesahkan Fabinho akan memainkan peranan dan berkata pemain tengah itu semakin menyesuaikan diri dengan kehidupan di Liverpool.

"Ya, ia jelas (dia boleh bermain), ia jatuh pada hari kelahirannya maka ia akan menjadi hadiah menarik buatnya," katanya kepada akhbar UK.

"Seperti biasa, ia akan bertambah baik dan sekarang ini di tahap memuaskan. Ya, kita tengoklah nanti. 

"Saya belum menetapkan kesebelasan yang akan diturunkan, namun tentu saja ia sangat penting bagi kami. Dia sudah berada di sini selama beberapa bulan, dia telah membiasakan diri dengan beberapa perkara, jadi kami akan menggunakan khidmatnya."

Liverpool membayar £39 juta (RM210.8j) untuk memancing Fabinho tetapi Klopp enggan tergesa-gesa.

Pengurus berbangsa Jerman itu mendedahkan Fabinho perlukan masa untuk menyesuaikan diri di Liverpool.

"Dia lebih daripada sekadar pemain simpanan -- dia memerhati, menonton, menyerap dan itu semua sentiasa mengambil sedikit masa tetapi di atas padang, dia sudah kembali dan itu sesuatu yang bagus," kata Klopp.

"Anda hanya perlu menonton beberapa rakaman YouTube mengenainya. Tidak penting dalam mana-mana musim pun bersama Monaco, anda akan mendapati dia beraksi baik setiap musim. 

"Dia mempunyai kesemua ciri-ciri yang diperlukan -- terjahan keras, menyerang dengan baik, pantas, rembatan yang deras, situasi bola mati yang hebat, tandukan yang baik. Malah, dia juga bagus dalam sesetengah strategi.

"Cuma kami bermain dengan pendekatan dan sistem yang berbeza, itulah yang sering memerlukan masa untuk menyesuaikan diri."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen