Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berdepan siasatan daripada Persatuan Bolasepak England (FA) akibat kenyataan yang dilakukan di tepi padang selepas pasukannya mempamerkan aksi dramatik untuk menundukkan Newcastle United 3-2, kelmarin.

Rakaman televisyen memaparkan pengendali dari Portugal itu membisikkan sesuatu dalam bahasa Portugis yang didakwa mencarut berdasarkan gerakan bibirnya selepas United bangkit dalam babak kedua untuk memadamkan kelebihan 2-0 milik pelawat di Old Trafford.

Pihak FA mengesahkan kepada Omnisport semalam bahawa Mourinho akan disiasat berdasarkan insiden tersebut.

Mourinho, yang dilantik selaku pengurus United pada 2016, menjadi sasaran membabitkan spekulasi masa depannya selepas salah satu akhbar tempatan melaporkan bekas pengendali Real Madrid itu bakal dipecat tidak kira apa keputusan perlawanan dengan Newcastle itu.

Gol dalam babak kedua oleh Juan Mata, Anthony Martial dan Alexis Sanchez memastikan The Red Devils tidak mengalami kekalahan liga yang keempat berturut-turut dan Mourinho menegaskan ia adalah hasil daripada cetusan semangat yang diberikan kepada anak-anak buahnya.

Mereka melayan kunjungan Newcastle selepas gagal mencatat kemenangan dalam tiga aksi sebelum itu selepas tewas di tangan West Ham United serta Derby County bagi saingan Piala Liga.

Dalam aksi seterusnya, Mourinho bakal berdepan bekas majikannya, Chelsea, untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris.