Everton tawar diri perkuat Manchester United 

Oleh Staff Writer 16 Jun 2019 42299
Everton tawar diri perkuat Manchester United 
Penggempur Brazil dan Gremio, Everton, bersedia untuk menyertai Manchester United sambil menyatakan gaya permainannya mungkin sesuai dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 23 tahun itu menyumbat gol ketika melengkapkan kemenangan 3-0 Brazil ke atas Bolivia dalam aksi pembukaan Copa America semalam, yang menyaksikan dua gol dihasilkan Philippe Coutinho.

Everton menjadikan tempoh sembilan minitnya dalam aksi di Estadio do Morumbi itu berbaloi untuk meningkatkan reputasinya apabila menyusup dari sebelah sayap kiri sebelum melakukan rembatan yang melewati Carlos Lampe.

Sejurus membuka akaun jaringannya bersama pasukan senior Brazil, Everton mengakui mengintai perpindahan ke kelab besar Eropah, dengan Old Trafford menjadi destinasi pilihannya. 

"Saya seorang pemain yang sentiasa cuba mengatasi pihak lawan," katanya kepada Daily Mail.

"Melakukan larian dari sebelah sayap, kemudian melakukan gelecekan disusuli penyudah yang baik -- kelab di Eropah mengamalkan corak permainan seperti ini. Mungkin saya boleh menyesuaikan diri di Manchester United dan kelab-kelab lain juga."

Everton, yang tujuh kali membarisi skuad Selecao, telah menyumbang tiga gol untuk Gremio dalam saingan Copa Libertadores serta tujuh gol dalam liga domestik musim ini.

Dia turut dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City dan AC Milan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen