Everton tandatangani James Rodriguez daripada Real Madrid

Oleh Muzaffar Musa 8 September 2020 495
Everton tandatangani James Rodriguez daripada Real Madrid
James Rodriguez meninggalkan Real Madrid untuk menyertai pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton dengan kesepakatan selama dua tahun dan pilihan untuk melanjutkannya selama setahun lagi.

Selepas tidak tersenarai dalam perancangan Zinedine Zidane, James akan kembali berada di bawah seliaan Carlo Ancelotti -- yang merupakan bekas jurulatihnya sewaktu di Madrid dan Bayern Munich -- dengan perpindahan dilaporkan bernilai £20 juta (RM109.4 juta).

Pemain tengah skuad kebangsaan Colombia berusia 29 tahun itu hanya beraksi sebanyak 14 kali dalam saingan LaLiga musim lalu selain merekodkan satu gol.

James merupakan kemasukan besar kedua buat Everton musim ini selepas kehadiran Allan daripada Napoli yang disahkan Sabtu lalu.

Ancelotti akan mengharapkan bekas perancang Porto dan Monaco itu dapat menemui semula prestasi terbaiknya seperti dalam musim pertamanya di Madrid memandangkan Everton sedang memburu perubahan drastik bagi memperbaiki kedudukan ke-12 musim lalu.

"Saya amat-amat gembira untuk berada di kelab hebat ini, satu kelab yang mempunyai banyak sejarah dan bersama seorang pengurus yang amat mengenali saya," kata James kepada evertonfc.com.

"Saya mahu mencapai perkara yang hebat di sini dan memenangi sesuatu, di mana ia juga adalah sasaran semua orang.

"Saya hadir ke sini untuk mencuba berkembang, cuba menjadi lebih baik. Saya juga hadir ke sini untuk membantu pasukan ini menang, untuk bermain dengan baik -- bola sepak yang menghiburkan.

"Saya amat yakin, dengan adanya Carlo dan staf teknikalnya, kami mampu mencapai sesuatu yang besar dan salah satu sebab utama saya berada di sini adalah disebabkan kehadiran Carlo Ancelotti.

"Saya pernah bersama dengannya dalam dua kelab berbeza sebelum ini. Ia adalah sebab yang besar untuk saya hadir ke sini," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen