Everton perlu pemain 'berjiwa pemimpin' — Leon Osman

Oleh Fadzrie Hazis 11 Jun 2020 22
Everton perlu pemain 'berjiwa pemimpin' — Leon Osman
Beberapa musim di Liga Perdana Inggeris (EPL) kebelakangan ini menyaksikan Everton semakin sukar menempatkan diri di kalangan lima pasukan terbaik liga.

Seteru setempat Liverpool ini juga menggunakan khidmat tujuh pengurus yang silih berganti sejak David Moyes meninggalkan Goodison Park pada 2013.

Daripada tujuh pengurus sehingga terkini Carlo Ancelotti, hanya Roberto Martinez yang kekal paling lama dari 2013 hingga 2016.

Pertukaran kerap pengendali pasukan jelas menyukarkan The Toffees mempamerkan peningkatan konsisten dalam tujuh musim sejak 2013.

Bagi bekas tonggak tengah Everton, Leon Osman, satu lagi faktor kemerosotan kelab itu ialah tiadanya seorang pemimpin di atas padang.

“Bagi saya Everton perlu mempunyai pemain yang mampu memberikan pengaruh positif dalam pasukan.

“Kita perlukan seorang pemain dengan watak pemimpin yang mampu memberi inspirasi kepada pasukan pada waktu getir,” kata Osman dalam dalam siaran terbaru Man On The Street (MOTS) yang akan ke udara pada 11 Jun, 9 malam di saluran Astro Supersport CH813.

MOTS adalah rancangan terbitan Astro Supersport yang memberi peluang buat peminat bertemu dengan pemain kegemaran mereka dan berbincang perbagai topik.

 
Pandangan Osman mungkin ada benarnya kerana ketika era Moyes, Everton mempunyai pemain seperti Marouane Fellaini dan Tim Cahil yang mampu menunjangi cabaran pasukan.

Namun Osman berasa, Ancelotti kini adalah calon terbaik memgendalikan Everton berbekalkan pengalaman luas pengendali dari Itali itu.

“Kehadiran Ancelotti jelas mampu memberikan motivasi kepada pemain jika lihat kepada kejayaannya sebagai pengurus sebelum ini.

“Apabila seorang pengurus dengan reputasi seperti Ancelotti memberi arahan kepada pemain, sudah pasti pemain akan menggandakan usahanya untuk terus mendapatkan kepercayaan pengurus.

“Ancelotti juga dibantu oleh Duncan Ferguson yang pernah menjadi pengurus sementara serta bekas pemain, jadi saya percaya di kalangan tenaga kejurulatihan pasukan ia agak seimbang,” kata Osman.

Osman yang mengerah kudrat selama 16 musim dengan Everton (2000-2016) akui bukan mudah menjadi pemain yang terdiri daripada anak jati Liverpool serta produk The Toffees.

Harapan sentiasa tinggi buat graduan muda dari akademi Everton apabila mereka mula memasuki skuad senior.

Skuad Everton kini hanya mampu bangga dengan kelibat Tom Davies yang merupakan produk akademi Everton, manakala pada masa lalu mereka pernah menghasilkan bekas bintang England, Wayne Rooney.

“Ketika saya menyertai akademi Everton, saya berusia dalam 11 tahun tetapi dari usia yang muda saya sentiasa diterapkan dengan keinginan tinggi untuk menang bersama pasukan.

“Pemain muda juga perlu mempunyai kesungguhan tinggi dan berusaha mendapat tempat dalam skuad utama ketika berusia 17- 19 tahun.

“Ketika ini ia hanya sekadar penyertaan buat barisan bawah umur kelab, ketika zaman saya dalam skuad remaja sudah cukup kompetirif terutama jika perlawanaan berdepan Liverpool.

“Saya masih ingat betapa kompetitif saingan dari peringkat bawah 14 tahun apabila perlu berdepan pemain seperti Steven Gerrard dan saingan itu berterusan sehingga ke peringkat senior,” kata Osman.



Osman menyifatkan bekas rakan sepasukan, Romelu Lukaku sebagai antara penyerang terbaik yang pernah beraksi dengannya di Everton.

“Lukaku mempunyai keinginan tinggi meraih jaringan, mempunyai fizikal yang baik dan seorang penyerang yang bagus.

“Mungkin ketika di Everton, sesetengah peminat mengharapkannya bekerja lebih keras buat pasukan.

“Tetapi dia adalah jenis penyerang yang mengharapkan sokongan rakan lain melakukan hantaran kepadanya dan dia akan menyudahkan peluang gol.

“Lihat saja di Inter Milan kini, Lukaku cukup berkesan mengetuai jentera serangan,” kata Osman.

Osman yang menamatkan kariernya pada penghujung musim 2015/16 selepas kontraknya tidak dilanjutkan, akui berasa sedih meninggalkan kerjaya sebagai pemain profesional selepas lebih sedekad mengerah kudrat buat Everton.

“Ketika itu Ronald Koeman baru mengambil alih pasukan dan mahu pemain pilihannya sendiri buat pasukan.

“Walaupun terdapat peluang buat saya terus bermain di luar negara, sukar buat saya meninggalkan Liverpool bersama keluarga kerana saya mempunyai kehidupan sempurna di sini.

“Tetapi sudah pasti saya perlu terus terbabit dengan bola sepak yang sudah menjadi sebahagian daripada diri saya,” tambah Osman yang kini bertugas sebagai pengulas bersama saluran Sky Sports.

Tentang Penulis

Fadzrie Hazis

Komen