Everton miliki peluang terbaik, Klopp akui Liverpool bernasib baik

Oleh Ammar Hakim 22 Jun 2020 459
Everton miliki peluang terbaik, Klopp akui Liverpool bernasib baik
Jurgen Klopp mengakui Liverpool bernasib baik untuk pulang dengan satu mata dalam pertembungan derby Merseyside menentang Everton.

Dalam tempoh dua musim berturut-turut, perlawanan di Goodison Park berakhir tanpa gol namun Tom Davies memiliki peluang terbaik pada 10 minit terakhir permainan -- percubaannya sekadar menggegar palang gol.mencatat kedudukan 10 minit dari waktu.

Liverpool menguasai sebahagian besar perlawanan tetapi gagal menampilkan aksi terbaik menerusi cara mereka membuka peluang.

Bagaimanapun, Klopp sangat berpuas hati dengan apa yang dipamerkan pasukannya ketika mereka kini hanya memerlukan lima mata untuk menjulang Liga Perdana.

"Ia perlawanan yang sengit, kedua-dua pasukan membuat banyak percubaan," katanya kepada Sky Sports.

"Kedua-dua pasukan menunjukkan bahawa mereka memahami bahawa ini adalah derby. Walaupun tanpa penyokong, ia sangat kuat, masing-masing mempamerkan permainan yang berbentuk fizikal.

"Saya gembira dengan cara kami bertahan. Cara kami menyerang balas juga sangat bagus. Kami banyak memintas bola daripada pasukan lawan. Kami tidak memiliki peluang yang cukup untuk menguasai permainan sepenuhnya.

"Sebahagian besar masa kami dominan tetapi kemudian mereka memiliki peluang terbesar. Ia hadir secara tiba-tiba dan kami bernasib baik pada masa itu." Kapten Everton, Seamus Coleman, melakukan tugas luar biasa di bahagian bek kanan bagi menghalang pergerakan Sadio Mane, walaupun Klopp berasakan pasukannya dapat memanfaatkan ruang lain yang dihasilkan menerusi taktikal itu.

"Kami harus lebih jelas dalam situasi, mengawal bola dan melakukan percubaan pada saat yang tepat, lebih banyak hantaran lintang di kawasan yang tepat," tambahnya.

"Selepas 60 atau 70 minit waktu permainan, saya dapat melihatnya lebih baik, kami mencari ruang yang tepat.

"Everton bertahan dengan baik, mereka berusaha menjaga Sadio dan Trent [Alexander-Arnold].

"Kami ketika itu tidak cukup bijak untuk menggunakan ruang yang dimiliki, Coleman telah beraksi dengan baik sekali."

Takumi Minamino diberikan peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama ketika Mohamed Salah kekal di bangku simpanan.



 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen