Everton letak kepercayaan pada Koeman -- Moshiri 

Oleh Penulis Jemputan 3 Oktober 2017 269
Everton letak kepercayaan pada Koeman -- Moshiri 
Pengerusi Everton, Farhad Moshiri mengesahkan pengurus, Ronald Koeman, menerima sokongan penuh di sebalik permulaan hambar pasukan.

Kekalahan mengejut 1-0 kepada Burnley di Goodison Park kelmarin meletakkan mereka di tangga ke-16 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya mengumpul tujuh mata setakat ini.

Skuad kendalian Koeman hanya meraih dua kemenangan daripada 10 perlawanan dalam semua kejohanan dan mereka telah dicemuh ketika bolos dengan gol penyamaan pada minit-minit terakhir berdepan Apollon Limassol yang bermain dengan 10 pemain dalam perlawanan Liga Europa (UEL) yang berkesudahan 2-2, minggu lalu.

Moshiri telah membenarkan kelab untuk berbelanja GBP140 juta (RM786 juta) untuk memperkukuhkan pasukan, sebaliknya Koeman gagal membentuk pasukan yang memberikan saingan pada awal musim ini.

Beliau menyatakan kelab akan terus mempercayai pengendali dari Belanda itu dan yakin beliau masih mampu melakukan sesuatu yang positif untuk musim ini.

"Kami berada dalam kedudukan yang terus, tetapi telah beraksi dengan empat pasukan pilihan menjuarai takhta liga -- tiga daripadanya di tempat lawan. Kekalahan kepada Burnley merupakan satu kejutan," katanya.

"Empat aksi kelayakan UEL dan dua perlawanan peringkat kumpulan tidak membantu kami. Kepenatan mental dan fizikal serta kami terpaksa mengharungi saingan tanpa tujuh pemain yang mengalami kecederaan.

"Saingan masih awal dan saya akan terus memberikan sokongan kepada Koeman. Kami akan cuba memastikan keputusan yang positif dalam perlawanan akan datang.

Everton berkunjung ke Brighton and Hove Albion untuk perlawanan seterusnya selepas tamat aksi perlawanan antarabangsa, sebelum berdepan Lyon, Arsenal dan Chelsea.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen