Pertahanan Manchester United, Marcos Rojo, kini menjadi sasaran Estudiantes dan mereka sedang berusaha untuk menandatangani pemain itu, kata pengarah kesukanan kelab Argentina berkenaan, Juan Sebastian Veron.

Rojo menyertai United daripada Sporting CP pada 2014 dan kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama kerana bergelut dengan siri kecederaan dan terus gagal membuktikan keupayaannya sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih pasukan itu.

Musim ini, pemain berusia 29 tahun itu hanya diturunkan sebanyak tiga kali dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan media tempatan melaporkan United sedia melepaskan pertahanan tengah itu, yang dikatakan menerima gaji sebanyak £130,000 (RM694,891) seminggu.

Pemain kebangsaan Argentina itu merupakan produk akademi Estudiantes dan pernah mewakili pasukan senior kelab itu sebelum menyertai Spartak Moscow dan Sporting.

Keluarga Rojo dikatakan sudah bersedia untuk pulang ke Argentina dan Veron, yang merupakan bekas pemain United, berharap kesepakatan itu dapat dimuktamadkan.

Dia dipetik sebagai berkata oleh La Nacion: "Harap-harap United dapat lihat bahawa tiada isu masalah ekonomi yang dapat ditangani tetapi ia (perjanjian itu) berlaku dengan cara berbeza dan kami dapat menarik minatnya.

"Kami sedang berusaha untuk membawanya pulang.

"Dia mempunyai segala-galanya untuk terus bermain di Eropah tetapi dia mahukan kesinambungan," katanya.



Editor: Muzaffar Musa