Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, bersedia untuk menerima kehadiran semula Christian Eriksen tetapi akan membuat keputusan saat-saat akhir sama ada menurunkannya dalam aksi berdepan West Ham United, esok.

Eriksen terlepas empat perlawanan terakhir Spurs akibat kesakitan bahagian badan tatkala pengendali Denmark, Age Hareide, menyifatkan kecederaan itu sebagai sesuatu yang kronik.

Kenyataan itu dinafikan oleh ejen Eriksen, Martin Schoots, yang menegaskan kata-kata Hareide itu telah disalah anggap.

Namun, Pochettino tidak begitu risau akan tahap kecergasan perancang utama itu.

"Saya rasa ejen Eriksen menjelaskan dengan baik selepas komen daripada pengurus Denmark," kata Pochettino.

"Saya rasa semua orang berhak memberikan pendapat dan tiada apa yang boleh saya katakan.

"Eriksen bersedia untuk kembali bersaing dan beraksi tetapi kami akan membuat keputusan sama ada dia akan turun dalam aksi esok, dari mula perlawanan atau bermula di bangku simpanan. Saya akan membuat keputusan esok.

"Namun, saya rasa tiada apa yang boleh diperkatakan mengenai kenyataan Hareide."

Kunjungan ke Stadium London esok menyaksikan Spurs akan memulakan tempoh sibuk apabila bakal bertemu PSV Eindhoven dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu depan sebelum menerima kehadiran Manchester City.

Pochettino berkata aksi antarabangsa hadir pada waktu tepat untuk pasukannya walaupun dua pemain England, Dele Alli dan Danny Rose, tidak bersedia untuk berdepan The Hammers.

"Ia adalah tempoh yang bagus kerana kami dapat menyaksikan beberapa pemain seperti Eriksen dan Mousa Dembele melalui proses pemulihan," tambah Pochettino.

"Walaupun Alli dan Rose mungkin memerlukan 10 hari lagi dan Jan Vertonghen tampak lebih lama tetapi apa yang penting adalah pemain menjalani proses pemulihan. Ia bakal menjadi bulan yang getir buat kami.

"Terdapat banyak perlawanan yang menunggu dan penting untuk seluruh pasukan cergas. Pilihan diperlukan untuk menggilirkan pemain yang beraksi kerana ia bakal menjadi sukar.

"Kami mempunyai tujuh perlawanan dalam tempoh sebulan dan sangat penting untuk pemain kekal cergas dalam usaha mendapatkan tahap yang kami mahu."