Pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL), Jamie Vardy, menandatangani kontrak baru selama tiga tahun besama Leicester City.

Bekas penyerang kebangsaan England itu kerap mencipta kejutan sejak menyertai The Foxes daripada Fleetwood Town pada 2012 dengan memainkan peranan besar ketika pasukannya menjuarai EPL musim 2015-16.

Vardy hanya mengikat kurang daripada dua tahun dalam kontrak sebelumnya tetapi pemain berusia 33 tahun itu telah bersetuju dengan kesepakatan baru untuk kekal di Stadium King Power bagi tempoh yang lebih lama.

"Perjalanan saya sepanjang bersama kelab bola sepak ini amat sukar untuk digambarkan dan walaupun telah banyak kejayaan yang kami capai bersama, saya sedar masih banyak untuk saya capai bersama pasukan ini, jadi ia perasaan yang istimewa untuk sekali lagi menyerahkan masa depan saya kepada Leicester City," katanya dalam laman web rasmi pasukan itu.

"Saya gemar mempamerkan bola sepak saya di depan penonton kami di Stadium King Power dan saya gembira untuk meneruskan perjalanan saya selama waktu yang menarik bersama kelab ini.

"Kami pasukan hebat yang saya percaya mampu menjadi lebih baik dan saya tidak sabar untuk melihat apa yang kami mampu capai dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Vardy muncul penjaring terbanyak dalam saingan divisyen utama itu dengan menjaringkan 23 gol daripada 35 perlawanan buat skuad kendaluan Brendan Rodgers berkenaan, yang menamatkan saingan di tempat kelima.

Leicester mengumumkan kesepakatan itu hanya beberapa hari selepas pemain tengah, James Maddison, menamatkan spekulasi mengenai perpindahannya dengan mengikat kontrak baru selama empat tahun bersama kelab itu.