EPL: Solskjaer tidak gembira United seri dengan Liverpool

Oleh Muzaffar Musa 18 Januari 2021 6001
EPL: Solskjaer tidak gembira United seri dengan Liverpool
Ole Gunnar Solskjaer berasakan Manchester United telah terlepas peluang ke atas Liverpool selepas terikat 0-0 dengan juara bertahan itu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Pendahulu EPL, United, mengekalkan kelebihan tiga mata ke atas pasukan tuan rumah itu dalam satu perlawanan hambar di Anfield -- yang turut melebarkan rekod tanpa kalah mereka di laman lawan kepada 16 perlawanan.

Liverpool memegang 66 peratus penguasaan bola dan melakukan 17 percubaan manakala United hanya lapan tetapi pasukan lawan itu tidak banyak menggugat penjaga gol, David de Gea.

Bahkan, United memiliki dua peluang keemasan dalam babak kedua, di mana penjaga gol Liverpool, Alisson, menyelamatkan percubaan Bruno Fernandes dan Paul Pogba bagi mengekalkan rekod tanpa kalah skuad The Reds itu di laman sendiri yang kini telah berlarutan kepada 68 perlawanan.

Solskjaer berasakan pasukannya tidak menunjukkan ketenangan yang mencukupi untuk mengawal permainan dan kecewa mereka tidak melakukan lebih percubaan untuk menguji pertahanan tengah lawan, Fabinho dan Jordan Henderson.

Ditanya sama ada United pasukan yang lebih layak menang atau tidak, Solskjaer berkata kepada Sky Sports: "Tidak, kami tidak layak, kerana saya tidak fikir kami bermain cukup baik. Kami tidak mendorong diri kami dalam permainan, terutama dalam babak pertama.

"Saya fikir kami berkembang dalam perlawanan dan pada akhirnya, anda berasakan 'ya, ia sudah terhidang untuk kami memenanginya di sini'. Kami mencipta dua peluang besar dan penjaga gol mereka menyelamatkan keadaan dengan bijak.

"Kami boleh bermain dengan lebih baik berbanding seperti ini -- kami menyedarinya. Kami boleh menjadi lebih tenang, lebih memiliki bola.

"Kami perlu kerap bertahan dan saya fikir kami terlalu kerap mengeluarkan bola, mungkin pada sesetengah waktu kami mensia-siakannya, apabila Marcus (Rashford) melakukan larian dari bawah, mungkin kami tidak melakukan hantaran setiap kali dia melakukan larian dan adakalanya kami melepaskannya pada ketika dia sepatutnya menerima bola. (Terdapat) beberapa perkara untuk diperbaiki.

"Saya perlu jujur dan mengakui bahawa saya agak kecewa buat masa ini. Kami berdepan pasukan yang hebat dan mereka memiliki penguasaan tetapi apapun, anda mahu datang ke sini, anda sedar masalah kecederaan mereka sejak akhir-akhir ini, anda fikir anda boleh datang ke sini dan menang. Kami tidak menang tetapi satu mata ini akan menjadi baik jika kami memenangi perlawanan berikutnya," katanya.
 
Ketika ditanya sama ada United sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih berani, Solskjaer membalas: "Ia bergantung kepada keberanian yang anda maksudkan, dalam pemilihan pemain atau tentang penguasaan bola. Saya fikir kami perlu menjadi lebih baik dalam menguasai bola, menjadi lebih berkualiti tetapi saya mungkin akan memulakan perlawanan dengan pasukan yang sama jika itu yang anda tanyakan.

"Saya tahu kami boleh bermain lebih baik tetapi kami membawa pulang satu mata, di mana saya fikir ia telah menunjukkan sejauh mana kami telah meningkat sepanjang setahun atau enam bulan ini.

"Sudah pasti ia sesuatu yang positif, anda mendapatkan satu mata tetapi anda mahu memenangi setiap perlawanan, jadi anda tidak boleh duduk atau berdiri di sini dengan terlalu bersenyum. Tetapi kami akan berusaha lagi. Kami sedar kami boleh melakukan lebih baik daripada ini, di mana ia sesuatu yang amat positif," katanya lagi.



 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen