Raheem Sterling mahu memastikan rekod jaringannya musim ini dapat membantu Manchester City menjulang trofi selepas mencipta hatrik ketika menewaskan Brighton and Hove Albion dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex awal pagi tadi.

City mengesahkan kedudukan selaku naib juara EPL musim ini menerusi hatrik Sterling selain satu gol, masing-masing daripada Gabriel Jesus dan Bernardo Silva.

Ia merupakan kemenangan di laman lawan pertama selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam kunjungan terakhir mereka.

City seterusnya akan bertemu Bournemouth di laman sendiri, yang disusuli dengan separuh akhir Piala FA menentang Arsenal.

Sterling pula telah menjaringkan enam gol daripada lima perlawanan terakhir dan mengumpulkan 27 gol secara keseluruhan musim ini.

"Perkara paling penting bagi saya adalah mencuba untuk menjaringkan banyak gol bagi memberikan nilai tambah dalam pasukan ini," katanya kepada Sky Sports.

"Pada akhirnya, (adalah lebih penting) untuk memenangi final Piala FA dan mencuba menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, jika tidak, kesemua gol ini tidak bermakna.

"Saya perlu mencuba untuk memastikan setiap gol ini bermakna.

"Saya fikir masalah kami musim ini adalah kami mencipta banyak peluang tetapi musim lalu dan musim sebelumnya, kami dapat menyudahkan peluang dan menamatkan perlawanan lebih awal.

"Musim ini, kami tidak bernasib baik tetapi kami semakin berkembang, melakukan perkara betul yang kami perlu lakukan dan terus mencipta peluang. Kami tidak boleh merungut.

"Kami agak kecewa minggu lalu kerana tewas kepada Southampton ketika kami banyak mencipta peluang tetapi tidak menyudahkannya.

"Amat baik untuk bangkit dengan satu lagi kemenangan," katanya.

Sterling menjaringkan 17 gol dalam EPL musim ini dan ditanya sama ada dia masih mahu memburu anugerah kasut emas musim ini tidak -- di mana Jamie Vardy (Leicester City) mendahuluinya dengan kelebihan lima gol.

Dia berkata: "Saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya sudah ada 14 gol dan perlu menjaringkan hatrik. Saya gembira dapat melakukannya."