Ole Gunnar Solskjaer percaya Paul Pogba telah kembali ke pasukan Manchester United yang berbeza dan mula menikmati semula bola sepak.

Pogba menjaringkan gol pertamanya sejak April tahun lalu ketika United melebarkan rekod tanpa kalah kepada 17 perlawanan berturut-turut selepas menewaskan Aston Villa 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Villa Park awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Perancis itu membentuk gandingan mantap bersama Bruno Fernandes di jentera tengah United walaupun masih belum menandatangani kontrak lanjutan bersama pasukan itu -- Pogba memiliki kontrak sehingga 2021 dan kelab itu mempunyai pilihan untuk melanjutkannya selama setahun lagi.

Solskjaer memuji Pogba dengan berkata pemain tengah itu kembali ke dalam pasukan yang berbeza sejak pulih daripada kecederaan buku lali bulan lalu.

"Kami masih memiliki kontrak bersama Pogba dan saya sudah katakan berulang kali bahawa saya fikir dia adalah seorang yang luar biasa, pemain yang luar biasa, pemain tengah terbaik di dunia," kata pengurus United itu kepada Sky Sports.

"Pasukan ini berbeza berbanding ketika sebelum dia mengalami kecederaan.

"Kini fokus, sikap dan segala-galanya jauh lebih baik di bilik persalinan," katanya.

Fernandes membuka jaringan menerusi sepakan penalti sebelum giliran Mason Greenwood meledakkan gol keempatnya daripada tiga perlawanan terakhir.

Solskjaer percaya lebih banyak kehebatan akan dipamerkan Greenwood, yang telah mengumpulkan 16 gol musim ini.

"Dia berusia 18 tahun. Sudah pasti dia boleh menjadi lebih baik jika dia terus melakukan perkara yang betul dan mencintai bola sepak. Dia pemain bola sepak berbakat.

"Dia sudah berada di akademi sejak kecil, ayahnya menunjukkan gambarnya bersama saya ketika dia berusia tujuh tahun, ketika saya menghantar anak saya menyertai salah satu pusat akademi.

"Dia sudah lama berada dalam kelab ini, dia tahu apa yang kami mahukan daripadanya dan dia tahu kami mempercayainya," katanya lagi.

Dengan hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan di tangga keempat, Leicester City, United akan meneruskan perjuangan mereka dengan menantikan kunjungan Southampton, Isnin ini.