EPL perlukan VAR, sekarang juga! -- Benitez berang keputusan pengadil 

Oleh Staff Writer 10 Disember 2018 531
  EPL perlukan VAR, sekarang juga! -- Benitez berang keputusan pengadil 
NEWCASTLE UNITED 1 WOLVES 2

Rafael Benitez menuntut Liga Perdana Inggeris (EPL) memperkenalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) "sekarang juga" selepas Newcastle United yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain tumbang 1-2 kepada Wolves di tempat sendiri menerusi jaringan Matt Doherty pada minit ke-94.


Newcastle hampir berkongsi mata dalam aksi di St James' Park itu pada awal pagi tadi susulan DeAndre Yedlin dibuang padang tetapi tandukan Doherty dari jarak dekat dalam masa tambahan selepas Martin Dubravka menyelamatkan percubaan Diogo Jota, membuka tirai jaringan.

Begitupun, Benitez cukup tidak bersetuju dengan keputusan pengadil, Mike Dean, yang mengarahkan Yedlin meninggalkan padang kerana menjatuhkan Jota sambil mendakwa Ayoze Perez sepatutnya diberikan sepakan penalti selepas pertembungan dengan Willy Boly di dalam kotak penalti Wolves.

Benitez membuat isyarat VAR di tepi padang susulan kad merah yang diterima Yedlin, dengan teknologi itu bakal diperkenalkan dalam EPL pada musim 2019-20 tetapi dia berasakan langkah itu sudah terlambat.

"Kami memerlukan VAR sekarang juga berdasarkan apa yang anda lihat hari ini. Saya fikir kita memerlukan VAR," kata Benitez yang marah kepada Sky Sports. "Apabila anda melihat kad merah dan muka Perez disiku, maka sekarang juga VAR perlu diketengahkan.

"Kedudukan bola itu jauh dan (Jamaal) Lascelles sedar ia bukan satu peluang terbuka. Yedlin telah menariknya tetapi saya tidak mahu membincangkannya. Jelas sekali kami beraksi dengan baik, namun adalah sukar dalam situasi ini. "

Mengenai tuntutan penalti, jurulatih Sepanyol itu menambah: "Saya tidak perlu bercakap terlalu banyak tentang pengadil tetapi situasinya cukup jelas dan keadaan seperti ini membunuh keyakinan kami."

Perez, yang menjaringkan gol penyamaan Newcastle dengan tandukan tipis, menyaksikan rayuan penaltinya tidak diendahkan oleh Dean selepas disiku Boly yang menyebabkan pendarahan di mukanya. 

"Saya disiku di muka. Pengadil mengatakan bola itu terkena muka saya," kata Perez kepada Sky Sports.

"Bola itu jauh daripada pemain pertahanan lawan. Sungguhpun muka saya berdarah, pengadil masih yakin bahawa bola itulah yang menghentam muka saya. Ia agak aneh, saya masih bingung memikirkannya dan saya tidak percaya.

"Saya tidak tahu apa yang diperlukan kami untuk memenangi penalti atau tindakan yang adil. Kami perlu terus bercakap tentang bola sepak dan perkara yang paling penting ialah kami terus memperbaiki prestasi di tempat sendiri. Kami kalah 0-3 kepada West Ham sebelum ini tetapi hari ini, kami tidak sepatutnya kalah.

"Bukannya saya mahu mengadu atau apa-apa, namun saya disiku tepat di hidung. Saya tidak tahu apa yang dilihat oleh pengadil ketika itu, tetapi bagaimana ia tidak dikenakan sepakan penalti? Saya tidak tahu apa yang dia perlu lihat atau apa yang perlu berlaku untuk mendapat penalti."


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen