Jose Mourinho menegaskan bahawa dia sudah memenangi segala yang termampu di Manchester United ketika ketua jurulatih Tottenham Hotspur berkenaan sedang bersiap sedia untuk berdepan kelab lamanya itu.

Mourinho dan Tottenham akan bertandang ke Old Trafford untuk bertemu United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam esok.

Pengurus berbangsa Portugis itu menghabiskan dua setengah musim di United sebelum dipecat pada Disember 2018 dan digantikan dengan Ole Gunnar Solskjaer.

Mourinho, yang dilantik sebagai pengurus Spurs pada November lalu, gagal memberikan gelaran EPL buat United selepas muncul naib juara musim 2017-18 tetapi pernah menjuarai Liga Europa (2016-17), Piala EFL (2016-17) dan Perisai Komuniti (2016) sepanjang berada di Old Trafford.

"Penyokong mereka tahu saya sudah memberikan segala-galanya yang saya mampu," kata Mourinho kepada wartawan menjelang kepulangannya ke kubu United itu.

"Saya sudah memenangi apa yang mampu dimenangi, saya tidak menang apa yang tidak mampu untuk dimenangi.

"Saya memberikan segala-galanya, saya berikan hidup saya dan profesionalisme saya seperti yang biasa saya lakukan.

"Secara dalamannya, saya bertemu ramai rakan baik dan orang yang hebat di kelab itu.

"Saya sentiasa berperasaan baik di sini, perasaan yang perlu saya lupakan dalam tempoh 90 minit kerana dalam tempoh 90 minit itu, mereka mahu menang, saya juga mahu menang, itulah bola sepak," katanya.