Timo Werner gembira dengan penampilan pertamanya bersama Chelsea dan penyerang itu berkata dia berasakan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan "sesuatu yang berbeza".

Werner mendapatkan sepakan penalti dalam perlawanan pertamanya, di mana Chelsea menewaskan Brighton and Hove Albion 3-1 di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Selepas membintangi RB Leipzig, penyerang itu menyertai Chelsea dengan perpindahan dilaporkan bernilai £47.5 juta (RM252.5 juta) menjelang musim 2020-21.

Werner berkata pengalaman pertamanya dalam EPL ternyata berbeza berbanding aksi dalam Bundesliga.

"Saya amat teruja. Ia perlawanan yang sukar hari ini. Seperti yang ramai katakan kepada saya sebelum ini, bola sepak EPL adalah sesuatu yang berbeza," katanya kepada Optus Sport.

"Ia perlawanan yang sukar. Sebelum kedudukan 1-1, permainan kami tidak terlalu baik dalam babak kedua dan selepas kedudukan menjadi 1-1, kami bermain dengan lebih baik.

"Reece (James) menjaringkan gol yang luar biasa dan ia memastikan kami kembali menguasai permainan dan pada akhirnya, kami memenangi perlawanan ini, jadi kami amat gembira dengan kemenangan hari ini.

"Harap-harap kami akan memenangi lebih banyak perlawanan selepas ini," katanya.

Selepas Jorginho menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-23, Leandro Trossard kembali mengikat kedudukan buat Brighton dalam babak kedua.

Bagaimanapun, jaringan gemilang James dan sepakan Kurt Zouma yang terbias ke gawang lawan memastikan pasukan bimbingan Frank Lampard itu memperoleh tiga mata pertama.

Ditanya apa yang menjadikan EPL satu liga berbeza, Werner berkata terdapat beberapa faktor dan fizikal adalah salah satu daripadanya.

"Permainannya amat berbeza. Ada situasi di mana kami memperoleh banyak ruang kerana padangnya amat besar dan anda boleh melakukan larian seperti yang dilakukan kami selepas mendahului 1-0 dalam babak pertama.

"Tetapi apabila anda turun beraksi dalam babak kedua, permainannya berubah sepenuhnya dan pasukan lawan, Brighton, bermain dengan amat baik dan memberikan banyak kesukaran kepada kami.

"Sudah pasti ia melibatkan fizikal dan kekuatan pemain pertahanan, saya berdepan tiga pertahanan yang besar, anda tidak ada sesuatu seperti itu di Jerman.

"Saya gembira berada di sini dan saya fikir ia adalah perlawanan pertama yang bagus buat saya dan buat seluruh pasukan ini," katanya lagi.

Chelsea akan melayani kunjungan Liverpool dalam perlawanan berikutnya hujung minggu ini.