Carlo Ancelotti tidak kisah dengan tahap kecergasan dan fizikal pemain barunya, James Rodriguez, sambil berseloroh bahawa adalah lebih baik untuk dia menandatangani Usain Bolt jika faktor itu dijadikan keutamaan.

Perancang Colombia itu mencuri tumpuan ketika Everton menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 bersama dua lagi pemain baru, Allan dan Abdoulaye Doucoure, dalam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) di gelanggang lawan lewat malam tadi.

James melakukan lima hantaran penting, lebih banyak daripada mana-mana pemain lain di atas padang selain melakukan pintasan sebanyak empat kali.

Ditanya selepas perlawanan sama ada dia gusar James memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan EPL, Ancelotti menggunakan Bolt -- yang merupakan pemenang lapan pingat emas Sukan Olimpik dan berhasrat untuk menjadi pemain bola sepak bersara -- sebagai perbandingan jika aspek itu menjadi keutamaannya.

"Saya tidak gusar dengan aspek fizikal. Jika saya gusar mengenai perkara itu, saya akan menandatangani Usain Bolt dan bukannya James," katanya kepada Sky Sports.

"James bukanlah pemain terpantas di dunia tetapi dia mempunyai kualiti yang besar.

"Kami perlu menggunakannya untuk melihat kualitinya.

"Dia bukan pemain sayap tetapi dia boleh masuk ke dalam dan menerima bola. Dia amat berbahaya.

"Pemain yang boleh bermain bola sepak, mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri.

"James tahu apa yang perlu dilakukannya, sama seperti Allan dan Doucoure.

"Saya hanya katakan tunjukkan kualiti anda dan mereka melakukannya. Kami mempunyai kombinasi pemain tengah yang baik.

"Musim lalu, kami mempunyai pemain yang mempunyai kualiti ketika memegang bola tetapi anda juga perlu bermain tanpa bola," katanya.

Dominic Calvert-Lewin menjaringkan gol tunggal ketika Everton membuka musim ini dengan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur.

Ancelotti menyasarkan kedudukan enam teratas musim ini dan percaya pasukannya telah menunjukkan mereka mampu mencapai tahap itu dengan aksi menarik di London.

"Saya gembira dengan prestasi kami, ia satu prestasi yang penting," katanya dalam sidang media.

"Itulah yang kami mahu lakukan, untuk menunjukkan yang kami mampu bersaing, itulah mesej utamanya.

"Kami boleh bersaing dengan semua pasukan jika ada sikap dan semangat yang bagus.

"Kami lebih menguasai permainan dalam babak kedua. Kami selesa ketika dengan dan tanpa bola dan pada akhirnya, saya fikir kami layak menang," katanya lagi.