EPL: Klopp puji Salah selepas jaring hatrik ke atas Leeds

Oleh Muzaffar Musa 13 September 2020 3437
EPL: Klopp puji Salah selepas jaring hatrik ke atas Leeds
Jurgen Klopp memuji Mohamed Salah sebagai pemain yang "amat istimewa" selepas bintang Liverpool itu menjaringkan hatrik ketika menewaskan Leeds United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Pendatang baru EPL kendalian Marcelo Bielsa itu memberikan tentangan hebat buat juara bertahan, Liverpool, di Anfield tetapi Salah menjaringkan sepakan penalti keduanya untuk memenangi perlawanan itu 4-3.

Salah membuka jaringan dalam perlawanan itu juga menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Robin Koch sebelum Jack Harrison kembali mengikat kedudukan.

Perlawanan kian menarik sebaik Virgil van Dijk kembali meletakkan Liverpool di depan tetapi Patrick Bamford memastikan Leeds terus bersaing dengan jaringan penyamaannya.

Salah kembali memastikan Liverpool memimpin permainan tetapi kelebihan itu sekali lagi dipadamkan oleh jaringan Mateusz Klich.

Salah kemudian menguraikan kekusutan itu dengan jaringan penalti keduanya pada dua minit terakhir perlawanan dan Klopp percaya aksi keseluruhan penyerang berbangsa Mesir itu telah membuktikan kualiti terbaiknya sebagai taruhan utama Liverpool.

"Yang pertama, tahniah kepadanya kerana dia seorang pemain yang amat istimewa, amat-amat istimewa," kata pengurus skuad The Reds itu.

"Jumlah itu telah menjelaskannya tetapi selebihnya anda tidak tahu.

"Tetapi hari ini adalah contoh yang baik di mana dia menjaringkan tiga gol lagi dalam senarai jaringannya tetapi persembahan keseluruhannya sememangnya luar biasa dalam perlawanan seperti ini.

"Dia layak mendapatkan jaringan itu, 100 peratus, benar dua daripada sepakan penalti, satu daripada penyudah yang amat sensasi tetapi dia layak mendapatkan jaringan itu kerana dia sentiasa mencuba dan menyebabkan banyak masalah buat pasukan lawan.

"Dia amat hebat dalam situasi satu lawan satu. Dengan prestasi baiknya buat kami, amat jelas ini adalah salah satu aksi terbaiknya, jadi dia sepatutnya berbangga dengan perkara itu kerana ia amat istimewa untuk memperoleh jumlah seperti itu. Semoga ia berterusan," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen