EPL: Klopp gemar aksi menarik Liverpool-Leeds di Anfield

Oleh Muzaffar Musa 13 September 2020 613
EPL: Klopp gemar aksi menarik Liverpool-Leeds di Anfield
Jurgen Klopp berkata bahawa dia teruja untuk menjadi sebahagian daripada aksi menarik yang dipamerkan Liverpool dan Leeds United dalam hari perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi.

Juara liga divisyen utama dan kedua bola sepak Inggeris itu bertemu dalam perlawanan  pertama itu dan gol sepakan penalti Mohamed Salah pada minit keempat seakan-akan menjanjikan Liverpool akan meraih kemenangan mudah di laman sendiri.

Bagaimanapun, lawan kendalian Marcelo Bielsa itu menyamakan kedudukan sebanyak tiga kali sebelum Salah memastikan kemenangan Liverpool dengan satu lagi sepakan penalti bagi melengkapkan hatriknya dan mengesahkan kemenangan 4-3.

Klopp berkata bahawa dia kurang berminat dengan corak permainan bertahan walaupun agak mengejutkan apabila pasukannya mempamerkan pertahanan yang agak rapuh.

"Perlawanan yang hebat, lawan yang hebat, prestasi yang hebat daripada kedua-dua pasukan. Amat baik untuk disaksikan, saya menggemarinya," katanya kepada Sky Sports.

"Amat jarang anda dapat melihat jaringan sebanyak itu dalam satu perlawanan.

"Kami mempunyai ruang untuk diperbaiki ketika bertahan tetapi ia tidak selalu berlaku dalam perlawanan pertama.

"Pemain kami telah beraksi untuk negara mereka beberapa hari ini, jadi ia mungkin (dapat diperbaiki).

"Pasukan lawan memaksa kami melakukan kesilapan, kami boleh melakukan yang lebih baik, kami akan melakukan yang lebih baik tetapi saya amat menggemari perlawanan berdepan lawan yang amat teratur, pasukan yang amat bersemangat seperti Leeds.

"Kami menggunakan kemahiran kami untuk memberikan mereka masalah, kami boleh menjaringkan lebih banyak gol dan pada akhirnya, kami menggunakan situasi bola mati dan ia sudah cukup baik buat saya.

"Ia bukan seperti menunggang basikal, anda boleh tewas dalam pramusim dan mengambil masa untuk memperbaikinya. Saya amat positif dengan perlawanan ini," katanya.
 
Ia merupakan kali pertama Leeds beraksi dalam liga divisyen utama itu sejak 2004 dan Klopp berasakan pasukan itu akan berjaya jika mereka dapat mengekalkan tahap permainan seperti itu.

"Leeds akan memperoleh musim yang baik sekiranya mereka dapat mengekalkan keamatan itu dan mereka dapat melakukannya dengan lebih banyak perlawanan dalam Liga Kejuaraan, jadi mengapa tidak?" tambahnya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen