Liga Perdana Inggeris (EPL) berharap dapat menamatkan saingan musim ini di venue-venue asal dan bukannya di gelanggang berkecuali seandainya saingan itu bersambung bulan depan.

Sejak ditangguhkan Mac lalu, EPL masih komited untuk menamatkan musim ini dengan 20 kelab yang bersaing sebulat suara bersetuju untuk meneruskan baki perlawanan masing-masing.

Bagaimanapun, enam pasukan di tangga terbawah percaya perlawanan di gelanggang berkecuali bertentangan dengan perancangan mereka memandangkan ia akan memberikan kesukaran buat pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran.

Semalam, Kerajaan British mengeluarkan pelan mereka bagi menamatkan perintah berkurung, pada waktu yang sama EPL mengadakan sidang maya berkenaan perancangan 'Project Restart'.

Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters, menededahkan badan itu mendengar rintihan setiap kelab yang memilih untuk beraksi di venue asal berbanding di padang berkecuali.

"Setiap kelab memilih untuk bermain di laman sendiri dan tempat lawan sekiranya ia dibenarkan.

"Amat jelas ada pasukan yang lebih kuat dengan cara tu berbanding yang lain.

"Ia masih dialog yang dibincangkan dan kami sudah berbincang dengan pihak berkuasa mengenai keadaan di mana kita boleh meneruskan saingan Liga Perdana dan mematuhi setiap saranan yang dikeluarkan.

"Kami bekerja keras untuk menyediakan satu model yang bertanggungjawab, selamat dan dapat dilakukan untuk melengkapkan musim ini.

"Tiada keputusan akan dibuat sehingga selepas kami melakukan perbincangan dengan pemain dan pengurus, dengan pertemuan itu dijadualkan berlangsung minggu ini," katanya.

Masters turut mengesahkan terdapat perbincangan untuk menamatkan musim ini lebih awal tanpa melengkapkan baki perlawanan.

"Ia merupakan kali pertama kami berbincang untuk membatalkanya -- sasaran utama kami tetap untuk melengkapkan musim ini.

"Amat jelas tetapi amat penting untuk membincangkan setiap pilihan itu dengan kelab-kelab kami.

"Apa yang saya boleh katakan adalah kesemua perbincangan itu menjurus kepada melengkapkan saingan musim ini. Tiada kesimpulan untuk model lain.

"Itu mungkin perbincangan yang perlu kami lakukan pada masa akan datang," tambahnya.