Pep Guardiola menerima bahawa keputusan seri 1-1 merupakan sesuatu yang adil buat Manchester City selepas Leeds United bangkit mengikat kedudukan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road awal pagi tadi.

Raheem Sterling meletakkan City di depan pada minit ke-17 dengan pasukan pelawat itu mendominasi sebahagian besar aksi dalam babak pertama.

Bagaimanapun, Leeds memanfaatkan cuaca hujan dalam babak kedua apabila menyamakan kedudukan selepas Rodrigo mengeksploitasi kesilapan penjaga gol, Ederson.

Kedua-dua pasukan itu kemudian meneruskan pemburuan gol kemenangan dan walaupun City gagal menambah sebarang jaringan, Guardiola gembira dengan prestasi pasukannya memandangkan ramai pemain utama mereka tidak dapat diturunkan.

"Ia perlawanan yang baik, keputusan yang adil," katanya kepada Sky Sports.

"Kami mencipta 30 minit yang hebat dan kami boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi kami tidak dapat melakukannya.

"Kami sedar mereka adalah pasukan yang akan sentiasa berusaha sehingga wisel penamat.

"Tetapi pasukan saya, dengan situasi yang kami hadapi, tanpa pramusim dan ramai pemain tidak dapat diturunkan, mereka telah mempamerkan perwatakan yang luar biasa.

"Malangnya, kami tidak dapat menang tetapi kami perlu melupakannya," katanya.

City turun tanpa gandingan penyerang, Sergio Aguero dan Gabriel Jesus, termasuk Ilkay Gundogan, tetapi pemain baru, Ruben Dias, berada dalam kesebelasan utama biarpun baru didatangkan daripada Benfica.

Mengenai persembahan pasukannya, Guardiola menambah: "Kami bermain dengan baik, perlawanan yang berbeza daripada kebiasaan -- lebih banyak turun naik, lebih banyak peralihan.

"Dalam babak pertama,sebelum mereka mendapat peluang pada penghujung aksi, kami berpeluang untuk mematikan permainan.

"Dalam babak kedua, ia lebih seimbang -- ada sesetengah waktu di mana mereka bermain lebih baik dariada kami, kemudian pada 10 atau 15 minit terakhir, kami pasukan yang lebih baik ketika mencuba untuk memenangi perlawanan ini," tambahya.