Mason Greenwood akan menyarung jersi nombor 11 buat Manchester United bagi musim ini tetapi jersi nombor 7 pasukan itu masih belum berpemilik.

United semalam mengumumkan nombor baru yang akan digunakan dua graduan akademi pasukan itu, Mason Greenwood dan Brandon Williams, menjelang Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2020-21.

Greenwood, yang berpeluang melakukan penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan England dalam perlawanan menentang Iceland awal pagi esok, bertukar nombor jersi daripada 26 kepada 11, yang sebelum ini sinonim dengan legenda United, Ryan Giggs.

Sementara itu, pertahanan kiri, Williams, akan beralih daripada nombor 53 kepada 33.

Selepas dikaitkan dengan pemain Borussia Dortmund, Jadon Sancho, sepanjang beberapa bulan ini, United masih tidak mempunyai pemain yang akan menyarung jersi nombor 7, nombor yang tidak digunakan sesiapa selepas Alaxis Sanchez meninggalkan pasukan itu pada Januari lalu.

George Best, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo merupakan antara pemain ternama yang pernah menggunkan nombor ikonic itu di United.

Kelab itu turut mengesahkan pemain baru, Donny van de Beek -- satu-satunya pemain baru yang ditandatangani mereka -- akan menyarung jersi nombor 34 bagi memperingati bekas rakan sepasukannya di Ajax, Abdelhak Nouri, yang mengalami kerosakan otak kekal susulan serangan aritmia jantung sewaktu perlawanan pramusim pada 2017.