Pemain tengah Chelsea, Billy Gilmour, mungkin berehat sehingga empat bulan selepas menjalani pembedahan lutut, demikian disahkan pengurus pasukan itu, Frank Lampard.

Pemain berusia 19 tahun itu cedera selepas pertembungan dengan Luka Milivojevic ketika The Blues menewaskan Crystal Palace 3-2 Selasa lalu.

"Billy Gilmour menjalani pembedahan di lutut kirinya pagi ini, malangnya dia akan direhatkan, kami menjangkakannya tiga hingga empat bulan," kata Lampard semalam.

Gilmour menyerlah di bawah kendalian Lampard musim ini dengan melakukan 11 penampilan dalam kesemua kejohanan dan mula menggugat kedudukan pemain kebangsaan Itali, Jorginho, di Stamford Bridge.

Lampard berkata proses pemulihan itu bergantung kepada nasib memandangkan Gilmour berkemungkinan akan pulih selepas tamat musim ini dan sebelum permulaan musim 2020-21 tetapi mengakui berita itu mengecewakan pemain tengah berkenaan.



"Saya amat kecewa, kami semua kecewa, termasuk Billy sendiri.

"Saya bercakap dengannya semalam mengenai tempoh pemulihannya dan memberikannya sokongan.

"Dia pemuda yang lasak. Dia amat terkesan -- saya turut merasainya, khususnya buat seorang pemain muda yang mendapat tempat akhir-akhir ini dan melakukan tugasnya dengan amat baik -- tetapi ini adalah sebahagian daripada bola sepak dan saya menjelaskan kepadanya bahawa dia sepatutnya gembira dengan impak yang telah diberikannya musim ini.

"Sebahagian tugas sorang pemain adalah menghadapi perkara ini dan segera belajar daripadanya dan sikapnya akan membantunya untuk pulih secepat mungkin," katanya.

Chelsea, yang menduduki tempat ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan berbaki empat perlawanan, akan berdepan Sheffield United di Bramall Lane tengah malam ini.