Ben Chilwell berharap Chelsea dapat membina sesuatu daripada kemenangan 4-0 ke atas Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi, di mana dia turut terlibat dengan dua jaringan dalam penampilan pertamanya.

Selepas bermula perlahan dalam babak pertama di Stamford Bridge, pertahanan kiri, Chilwell, memecahkan kebuntuan menerusi jaringannya hanya lima minit selepas perlawanan bersambung.

Pemain kebangsaan England itu tidak cukup cergas untuk diturunkan dalam tiga perlawanan liga pertama musim ini selepas tiba daripada Leicester City tetapi dia kemudian menjadi pencetus kepada jaringan kedua Chelsea.

Pemain pertahanan itu melakukan hantaran lintang yang ditanduk masuk Kurt Zouma sebelum dua jaringan penalti Jorginho memastikan skuad kendalian Frank Lampard itu memeperoleh kemenangan selesa.

Walaupun hampir menjaringkan dua gol, Chilwell -- yang mencipta secara keseluruhan tiga peluang dalam perlawanan itu -- menyamai rekod dua bekas pemain The Blues, iaitu Deco (Ogos 2008) dan Alvaro Morata (Ogos 2017) menghasilkan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam penampilan liga pertama bersama Chelsea.

"Ia persembahan yang hebat daripada seluruh pasukan," kata Chilwell kepada BT Sport.

"Amat jelas, saya amat gembira dengan persembahan peribadi saya tetapi ia sesuatu yang baik untuk kami memulakan sesuatu.

"Tanpa dibolosi, di mana ia sesuatu yang ingin kami perkatakan, dan empat gol hebat secara sepasukan.

"Saya menggemari cara kami berusaha sehingga ke penghujungnya.

"Kami mahukan lebih banyak gol dan menunjukkan kami bernafsu untuk memberikan tekanan sepanjang 90 minit.

"Ia sesuatu yang hebat sebelum waktu rehat antarabangsa," katanya.

Chilwell merupakan salah seorang daripada beberapa pemain baru yang didatangkan ke Chelsea dalam jendela perpindahan kali ini, sekali gus meningkatkan jangkaan buat pasukan itu bagi musim 2020-21.

Pemain berusia 23 tahun itu meletakkan harapan tinggi sambil memberikan bayangan mengenai apa yang akan dibawanya ke dalam pasukan itu menjelang penampilannya yang ke-100.

"Secara peribadi dan bercakap kepada pemain lain yang tiba di sini, sebab utama kami datang ke sini adalah kerana kami berasakan pasukan ini mampu memenangi sesuatu.

"Hari ini telah menunjukkan bahawa kami dahagakan kejayaan memenangi trofi selepas beberapa tahun.

"Kami hanya perlu berusaha keras dan terus memberikan prestasi seperti ini," katanya lagi.