Zinedine Zidane mungkin tidak akan bergelar pengurus Manchester United memandangkan tiada kelab daripada Liga Perdana Inggeris yang cuba merayu mendapatkannya, kata ejen legenda Perancis itu.

Bekas pengurus Real Madrid itu, yang menjulang tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut sewaktu di Santiago Bernabeu, dilaporkan menjadi calon utama untuk menggantikan Jose Mourinho di Old Trafford.

Laporan di England mendakwa Zidane sentiasa berhubung dengan pihak eksekutif United dan diminta untuk menolak semua tawaran lain demi menunggu peluang untuk menggantikan Mourinho.

Bagaimanapun, wakilnya, Alain Migliaccio, yang mendakwa bekas tonggak Perancis itu kepenatan secara mental ketika berada di Madrid, menjangkakan Zidane tidak akan menyertai kelab gergasi di England.

"Saya tidak rasa dia akan menguruskan pasukan di England. Ia tidak sesuai dengan caranya," kata Migliaccio.

"Saya telah bercakap dengan Zidane. Ia langsung tidak membuatkan dia mempertimbangkannya. Dia membuat keputusan untuk berehat dan tidak akan kembali dalam bidang pengurusan sebelum cutinya tamat."

Zidane meletakkan jawatan bersama Real Madrid selepas berada di Santiago Bernabeu selama dua setengah tahun, di mana dia menjulang gelaran LaLiga, Piala Super Sepanyol dua Piala Super Eropah serta dua kejuaraan Piala Dunia Kelab.

Tekanan kian memuncak buat Mourinho susulan aksi buruk yang ditampilkan United dan wujud laporan beberapa pemain senior mengalami masalah dengan bekas pengendali Porto itu.

Walaupun United menewaskan Newcastle United 3-2, ia mungkin mencerahkan peluang untuk dia terus meraih peluang di Old Trafford.