Persatuan Bolasepak (FA) meminta Kerajaan Britain memberikan pengecualian perjalanan kepada Iceland untuk memastikan perlawanan Liga Negara-Negara (UNL) itu berlangsung di Wembley pada Rabu depan.

Sekatan baru perjalanan yang dikenakan ke atas pelawat bukan warga Britain yang tiba dari Denmark telah menyebabkan pertemuan itu diselubungi ketidakpastian berikutan Iceland akan menghadapi Denmark di Copenhagen, tiga hari sebelumnya.

Langkah ketat itu diketengahkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Walaupun laporan media menunjukkan FA mempertimbangkan perlawanan itu mungkin boleh diadakan di Albania atau Jerman, mereka bagaimanapun masih berusaha mencapai kesepakatan dengan kerajaan supaya pertembungan berkenaan boleh mengikut perancangan asal diadakan di Wembley.

Satu kenyataan yang diterbitkan semalam menyaksikan FA memohon supaya peraturan itu disemak semula memandangkan mereka dan pasukan Iceland menekankan bahawa pemain bola sepak elit sering menjalani ujian calitan COVID-19.

Kenyataan itu berbunyi: "Kami telah meminta kerajaan agar mempertimbangkan untuk mengizinkan kami beraksi dalam UNL di Wembley dengan memberikan pengecualian perjalanan kepada Iceland yang terpaksa melalui protokol perubatan yang ketat.

"Pasukan Iceland akan bertemu Denmark di Copenhagen dan secara tidak langsung mereka akan dikenakan sekatan perjalanan.




"Ketika di Denmark, mereka akan berada di bawah protokol ketat Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam aspek kesukanan dan akan mereka menjalani ujian kesihatan sebelum bertolak ke England.

"Kami juga telah bersetuju dengan pasukan Iceland bahawa mereka akan tiba dengan pesawat peribadi dan akan melalui terminal peribadi sambil hanya akan mempunyai akses ke hotel dan stadium.

"Kami juga akan mengadakan ujian tambahan berbanding beberapa ujian yang biasa dijalani oleh setiap pemain dan kakitangan untuk perlawanan itu.

"Kami tidak meminta sokongan ini hanya untuk mendapatkan kelebihan di laman sendiri demi perlawanan antarabangsa yang kompetitif ini walaupun tentu ia sangat membantu.

"Kami tidak meminta sokongan ini hanya untuk mengelak terpaksa mengeluarkan kos yang besar jika England perlu beraksi di Jerman, malah buat masa ini kami tidak mampu untuk membayar denda.

"Kesihatan menjadi keutamaan, itulah sebabnya kami meminta sokongan ini. Kami percaya ini demi kepentingan skuad England dan kakitangan sokongan supaya aksi dapat diteruskan di Stadium Wembley daripada terpaksa berkunjung ke tempat lain pada masa ini -- kemudian melangsungkan perlawanan mengikut protokol UEFA seperti pasukan lain juga tetapi di negara yang berbeza.

"Kami faham mengapa industri seperti pengangkutan tidak dibenarkan melakukan perjalanan ke Denmark. Namun, pemain bola sepak antarabangsa adalah antara individu yang paling banyak diuji di planet ini. Bahkan kami akan melakukan ujian tambahan, melangkaui standard tertinggi yang ditetapkan.

"Kami meminta kerajaan supaya mengikuti saranan pakar kesihatan mengenai apakah perlawanan ini selamat diadakan di United Kingdom (UK) dan kami percaya pengecualian itu boleh diberikan demi kepentingan pasukan England."

Menjelang dua perlawanan terakhir Kumpulan A2, UNL, Denmark menguasai tempat kedua disusuli England yang sama-sama mengumpul tujuh mata sementara Belgium mendahului persaingan.

Iceland pula tewas dalam keempat-empat perlawanan terdahulu untuk menghuni tangga tercorot.