SOUTHAMPTON 2 TOTTENHAM 5

Gareth Bale sudah mendapat bayangan mengenai barisan jentera serangan yang bakal dibentuknya di Tottenham selepas empat gol luar biasa daripada Son Heung-min dan satu jaringan yang dicetak Harry Kane memastikan kemenangan 5-2 Spurs ke atas Southampton, sebentar tadi.


Penyerang Real Madrid itu, yang kembali ke kelab London Utara berkenaan semalam apabila setuju dipinjamkan semusim, pada awalnya mungkin meragui kemampuan mereka susulan jaringan pembukaan Danny Ings di St Mary's untuk meletakkan satu lagi bekas kelabnya itu di depan pada minit ke-32.


Namun, Son menyamakan kedudukan sebelum mereka kembali ke bilik persalinan apabila menyambut hantaran lintang Kane, yang menjadi arkitek kepada dua bantuan jaringan lagi untuk bintang Korea Selatan itu melengkapkan hatriknya tepat sejam permainan.

Duo itu kemudian terus mempamerkan keserasian untuk Son terus meledakkan jaringan buat kali keempat pada minit ke-73 sementara Kane menambah derita pelawat dengan gol kelima sebelum gol sagu hati Ings buat Southampton pada hujung permainan.