Emery: Waspada ancaman Zaha

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2019 144
Emery: Waspada ancaman Zaha
Unai Emery memberikan amaran kepada pemain-pemainnya bahawa penyerang Crystal Palace, Wilfried Zaha, bermotivasi untuk menghukum Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) esok.

Pemain sayap itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke Stadium Emirates sebelum musim 2019-20 bermula tetapi The Gunners mengambil keputusan untuk menandatangani Nicolas Pepe daripada Lille.

Palace akan berkunjung ke London Utara minggu ini dan melihat peluang untuk menambah derita skuad kendalian Emery itu selepas mereka dihukum Sheffield United dalam aksi terdahulu.

Kebimbangan bekas pengendali Sevilla dan Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak terlalu meninggi apabila tonggak The Eagles itu gagal meledak sebarang gol lagi musim ini.

"Dia seorang pemain yang berkualiti dan kerap mengubah keputusan perlawanan -- berdepan kami atau mana-mana pasukan," katanya.

"Kami akan berusaha mengutamakan corak permainan kami semenetara Zaha dan Palace akan mencari jalan untuk mengatasi kami di sini.

"Cabaran kami adalah menyekat setiap pergerakannya dan berusaha untuk meraih tiga mata."

Prestasi Pepe sejak menyertai Arsenal kurang konsisten tetapi sentuhannya membantu The Gunners untuk menang 3-2 dalam aksi Liga Europa ketika berdepan Vitoria Guimaraes.

"Kami mendapatkan khidmat Pepe bukan untuk beraksi dalam tempoh enam bulan atau dua tahun sahaja," katanya lagi.

"Persembahannya semakin meningkat dan bakal membantu pasukan.

"Saya tidak tahu sama ada dia akan beraksi esok tetapi dia akan sentiasa bersedia untuk menampilkan persembahan yang sama seperti berdepan Vitoria.

"Kami sangat gembira dengan perkembangan Pepe tetapi masa harus diberikan kepada pemain itu."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen