Pengendali Arsenal, Unai Emery, menolak untuk memberi jaminan terhadap masa depan Mesut Ozil di Stadium Emirates selepas sekali lagi mengetepikan perancang itu dalam aksi suku akhir Piala Liga, awal pagi tadi.

Ozil tidak tersenarai dalam pertemuan dengan Tottenham Hotspur, awal pagi tadi, yang menyaksikan The Gunners tewas 2-0 di laman sendiri hasil jaringan Son Heung-Min dan Dele Alli.

Situasi itu menyaksikan Ozil hanya tampil dua kali buat Arsenal bagi tempoh lebih sebulan, termasuk aksi 20 minit daripada bangku simpanan ketika The Gunners tewas 3-2 di tangan Southampton, Ahad lalu.

Namun, Emery berulang kali menolak untuk bercakap tentang penjualan bintang dari Jerman itu Januari ini sambil menegaskan ia adalah sebahagian daripada taktikal.

"Fokus saya adalah untuk mengenal pasti aksi hari ini dan Sabtu nanti," kata Emery.

"Ia keputusan berdasarkan taktikal kerana saya fikir pemain yang ada hari ini adalah yang terbaik untuk perlawanan ini."

Menurut pengendali itu, Ozil berada di Emirates awal pagi tadi dengan tujuan melihat rakan sepasukannya beraksi menentang musuh paling ketat dari London.

"Dia fikir tentang semua pemain tetapi bagi saya, ia adalah satu keputusan," tambah Emery.

"Saya memikirkan tentang aksi Sabtu ini dan tidak menghiraukan situasi lain. Setiap pemain sangat penting dan saya memilih siapa yang tidak beraksi. Ia hanya keputusan taktikal."