Unai Emery menegaskan beliau tidak akan meminta Lucas Torreira untuk bermain secara berhati-hati dan mengelak daripada layangan kad ketika berdepan Brighton and Hove Albion yang mampu menggantungnya daripada kunjungan Arsenal ke Liverpool.

Torreira dan seorang lagi pemain tengah Arsenal, Matteo Guendouzi, hanya memerlukan satu lagi kad kuning untuk digantung satu perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Mereka berkemungkinan terlepas aksi berdepan Liverpool di Anfield, Sabtu ini, jika dilayangkan kad ketika berdepan Brighton tetapi Emery berkata ia ia tidak akan menjejaskan perancangannya.

"Kami akan bermain seperti biasa berdepan Brighton dan tidak akan bersifat berhati-hati," katanya.

"Ia adalah tiga mata yang sama berdepan Brighton mahupun bertemu Liverpool. Kami mahu memastikan setiap pemain memberikan persembahan terbaik.

Apabila ditanya jika Torreira boleh mengurangkan pendekatan agresif dalam permainannya, Emery menjawab, "Saya tidak tahu tetapi saya tidak mahu dia terlalu memikirkan kad kuning yang bakal diterimanya untuk perlawanan seterusnya."

Arsenal bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut kepada Southampton dalam saingan liga dan Tottenham dalam aksi Piala EFL dengan menewaskan Burnley 3-1.

Emery kini tidak sabar untuk menempuhi jadual padat serta menikmati Hari Natal yang pertama dalam kancah bola sepak Inggeris.

"Saya akan menikmatinya bersama-sama anda (pihak media), bertugas dan menghadapi perlawanan. Saya berasakan kami berada dalam fasa yang penting buat penyokong Arsenal."

Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL), Pierre-Emerick Aubameyang, menjaringkan dua gol ketika berdepan Burnley selepas meledak golnya yang ke-12 musim ini.

Bagaimanapun, Emery lebih mengutamakan peningkatan dalam mutu pertahanan pasukannya berbanding meletakkan sasaran kepada penyerang itu.

"Kami perlu mula mengelak daripada dibolosi dan menyerap asakan lawan serta memastikan mereka gagal menyudahkan peluang," katanya.